KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- FM Global Logistics Holdings Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, FM Global Logistics Sdn Bhd, bekerjasama dengan tiga syarikat iaitu Scania Malaysia Sdn Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, dan JAC Motors Malaysia Sdn Bhd untuk memperkukuh komitmen terhadap agenda alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG).
Dalam kenyataan pada Khamis, FM Global menjelaskan sebagai sebahagian kerjasama itu, pihaknya membeli 20 trak Scania Super yang dilengkapi dengan enjin Euro 5 cekap bahan api daripada Scania Malaysia dengan anggaran kos RM11 juta.
“FM Global juga melantik Solarvest untuk pemasangan sistem solar di gudang dengan kos kira-kira RM1.5 juta selain membeli dua trak elektrik JAC i75 daripada JAC Motors pada RM557,000,” jelasnya.
Menurut kenyataan, ketika berucap pada majlis jalinan kerjasama tersebut, Pengarah Urusan FM Global Chew Chong Keat berkata kerjasama itu pastinya meningkatkan usaha pihaknya ke arah mencapai sasaran pengurangan gas rumah hijau (GHG).
“Pelaburan dalam teknologi hijau ini akan membantu kumpulan, terutama dalam mematuhi piawaian peraturan pada tahun-tahun akan datang.
“Susulan pembelian trak Scania Super, kami dapat menjimatkan bahan api sehingga lapan peratus bagi setiap kenderaan dan mengurangkan pelepasan GHG daripada operasi kumpulan sebanyak 719 tan metrik (MT) setiap tahun,” katanya ketika berucap pada majlis jalinan kerjasama itu.
Chew berkata pembelian trak elektrik JAC Motors menandakan permulaan peralihan syarikat daripada enjin pembakaran bahan api fosil kepada kenderaan pelepasan sifar karbon, yang dijangka dapat mengurangkan kira-kira enam MT pelepasan GHG setiap tahun.
Beliau berkata pihaknya juga memperkemas rancangan untuk memperkukuh komitmen ESG.
Usaha itu dilakukan dengan menganugerahkan kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, dan pengoperasian bagi sistem solar di bahagian bumbung di dua gudang baharu FM Global di Port Klang, Selangor, yang berpotensi mengurangkan 806 MT GHG setiap tahun, katanya.
“Dalam jangka masa panjang, kami juga menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030, selaras dengan Perjanjian Iklim Paris dan Pelan Hala Tuju Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) Malaysia.
“Bagi kami, kami mempunyai beberapa tahun lagi untuk mencapai matlamat ini, jadi kami sedang menumpukan untuk mencapainya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial