KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Pembelian 28 unit helikopter secara kontrak pajakan dengan kos RM16 bilion untuk tempoh 15 tahun merangkumi pakej yang menyeluruh, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata pakej menyeluruh itu merangkumi penyelenggaraan dalam dan luar pangkalan seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan simpanan alat gantian, latihan dan kursus kepada kira-kira 1,300 juruterbang dan kru penerbangan.
“Selain itu, ia melibatkan transfer of skills atau pemindahan kemahiran dan latihan berterusan kepada jurutera dan juruteknik agensi-agensi pengguna dan penyediaan perlindungan insurans mencakupi aset, kesemua kru, penumpang dan pihak ketiga dan kos pembiayaan atau peminjaman,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Berbanding dengan pembelian secara terus yang didakwa lebih murah, Mohamed Khaled berkata di bawah pakej pajakan menyeluruh itu kerajaan tidak perlu menguruskan kos-kos lain atau incidental costs.
Mengulas lanjut, beliau berkata kaedah kontrak pajakan itu dipilih bagi menghadapi cabaran ketersediaan aset strategik negara yang rendah akibat kekangan kewangan yang menyaksikan ketersediaan aset negara kini pada tahap yang tidak optimum.
“Dengan pendekatan pajakan, kerajaan tidak perlu bayar pendahuluan atau bayaran kemajuan atau perbelanjaan modal … sebaliknya dengan kontrak pajakan, kerajaan mula bayar komitmen apabila telah menerima dengan sempurna helikopter yang dibekalkan.
“Bayaran juga adalah secara bulanan mengikut kegunaan dan dipecahkan sepanjang tempoh 15 tahun. Kaedah ini kerajaan akan memperoleh aset berkos tinggi, canggih dan moden tanpa peruntukan besar,” katanya.
Mohamed Khaled turut menegaskan melalui kaedah itu, kerajaan mensyaratkan syarikat terlibat untuk memberi jaminan ketersediaan dan kesiapsiagaan minimum pesawat adalah pada tahap sekurang-kurangnya 85 peratus setiap masa.
Beliau berkata dengan pendekatan itu, kesiapsiagaan pesawat setiap bulan akan disusun menggunakan konsep power by hour (PBH) dan dapat dilakukan kerana semua alat ganti mestilah disediakan oleh syarikat pada setiap masa dan bukan dibeli hanya apabila diperlukan.
Selain itu, kesemua risiko penyediaan dan pemilikan fleet berkenaan menjadi tanggungjawab pihak pemberi pajak maka pihak syarikat perlu mengambil insurans sepanjang pajakan.
“Secara tidak langsung, pemindahan beban dan risiko pengurusan kepada syarikat membolehkan agensi pengguna beri perhatian sepenuhnya kepada tugas operasi udara tanpa perlu memikirkan hal penyelenggaraan pesawat seperti perolehan alat ganti, ketersediaan peruntukan kewangan dan latihan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial