JAKARTA, 20 Feb (Bernama) -- Tourism Perak menyertai Pameran Pelancongan ASTINDO 2025 selama tiga hari di Indonesia Convention Exhibition BSD, Tangerang, bagi meningkatkan industri pelancongan negeri dan mengukuhkan kehadirannya di pasaran Indonesia.
Pameran pelancongan yang berakhir pada Ahad berfungsi sebagai platform bagi agensi promosi pelancongan negeri untuk mempamerkan tawarannya yang pelbagai, termasuk warisan budaya, eko-pelancongan dan pengalaman pengembaraan, selain memupuk kerjasama antara pemain industri pelancongan kedua-dua negara.
"Dengan Indonesia sebagai satu daripada pasaran pelancongan masuk utama Malaysia, penyertaan kami dalam acara ini sejajar dengan strategi kami yang lebih luas untuk menarik pelancong dan agensi pelancongan Indonesia bagi meneroka Perak sebagai destinasi yang mesti dilawati di Asia," menurut agensi itu dalam satu kenyataan.
Pameran Tourism Perak menonjolkan tarikan pelancongan utama negeri itu, termasuk daya tarikan dan khazanah di daerah Lenggong dan Selama, Tasik Cermin, Belum Rainforest Resort serta Sunway Lost World of Tambun.
Sesi rangkaian dan libat urus perniagaan turut diadakan bagi memudahkan perbincangan antara pihak berkepentingan industri serta pemain utama sektor pelancongan dari Malaysia dan Indonesia.
Dengan melibatkan diri dengan pasaran Indonesia lebih awal, Perak berharap dapat meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, menurut Tourism Perak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial