KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Landskap Negara (JLN) menyasarkan pembinaan 112 Taman Rekreasi MADANI (TRM) di seluruh negara pada tahun ini.
Timbalan Menterinya Datuk Aiman Athirah Sabu berkata ia termasuk pembinaan lapan TRM yang akan dibangunkan di Selangor melibatkan peruntukan RM4 juta.
Beliau berkata pembangunan TRM akan menitikberatkan persekitaran hijau serta kemudahan landskap yang mesra rekreasi demi kesejahteraan penduduk dan manfaat komuniti setempat.
“TRM dibangunkan bagi kemudahan rekreasi dan riadah orang ramai di samping mengeratkan jaringan sosial masyarakat serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
“Inisiatif ini selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan lebih banyak ruang rekreasi dan kawasan hijau awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aiman Athirah berkata pada 2024, sebanyak 109 TRM dan projek pembangunan landskap telah siap dibangunkan dengan kos RM51.9 juta, termasuk tujuh TRM di Selangor yang menelan belanja RM3.5 juta, antaranya TRM Desa Pinggiran Putra di Sepang.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan bagi pembangunan landskap adalah sebanyak RM96 juta.
Sebahagian besar daripada peruntukan itu adalah untuk pembangunan TRM yang berjumlah RM50 juta.
KPKT merancang untuk membina 100 TRM setiap tahun dalam tempoh lima tahun, menjadikan jumlah keseluruhan 500 taman itu menjelang 2028.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial