LANGKAWI, 23 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan dua platform jualan dalam talian untuk menurunkan iklan penjualan gula-gula kenyal atau 'gummy' berbentuk mata yang sebelum ini dikatakan meragut nyawa seorang kanak-kanak di Pulau Pinang.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan profiling yang dibuat, KKM mengenal pasti 86 pautan iklan di dua platform berkenaan mengiklankan produk itu.
“Pagi ini, kita telah mengarahkan platform berkenaan untuk menurunkan iklan yang menjual gula-gula ‘gummy’ itu, tindakan yang dilaksanakan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM.
“Kita juga telah mengarahkan PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) seluruh negara untuk melakukan penguatkuasaan di premis fizikal dan akan merampas produk yang masih dijual,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kajian The First 1,000 Days Of Life: Langkawi Longitudinal Study dan Pendigitalan Menggunakan Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) di Langkawi di sini hari ini.
Sebelum ini, KKM dalam satu kenyataan menegaskan penjualan produk gula-gula kenyal atau gummy berbentuk mata dilarang di semua platform dalam talian dan pasaran domestik.
Menerusi kenyataan itu KKM memaklumkan siasatan mendapati produk berkenaan menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985, Akta Makanan 1983 [Akta 281].
Terdahulu, media melaporkan murid Tahun Empat Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal pada Selasa lepas.
Murid Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth itu dipercayai membeli dua biji gula-gula terbabit sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 2.30 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial