KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Pemasangan penghadang di kawasan berisiko termasuk di platform transit aliran ringan (LRT) antara langkah kritikal bagi menjamin keselamatan orang kurang upaya (OKU) terutama OKU penglihatan.
Presiden Persatuan OKU Sentral Datuk Ras Adiba Radzi berkata golongan berkenaan khususnya mereka yang tidak biasa melalui sesuatu kawasan berisiko, terdedah kepada bahaya jatuh ke landasan atau lubang yang boleh membawa maut.
“Sebelum ini, pernah berlaku beberapa kejadian yang menimpa sahabat-sahabat OKU penglihatan akibat risiko di tempat yang mereka lalui termasuk terjatuh ke dalam longkang yang tidak ditutup atau dihadang, menyebabkan ada individu tidak dijumpai selama berhari-hari,” katanya kepada Bernama hari ini.
Selain itu, beliau berkata kehadiran petugas di stesen-stesen pengangkutan awam juga mampu memudahkan urusan OKU penglihatan selain warga emas dan kanak-kanak ketika menggunakan kemudahan berkenaan.
Ras Adiba turut mengulangi gesaan supaya semua rekaan pejalan kaki termasuk di sekitar kemudahan awam perlu mengikut piawaian universal yang mesra OKU.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif ketika dihubungi berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa mengutamakan rekaan universal yang menitikberatkan keperluan OKU termasuk di kaki lima dan jalan masuk ke stesen pengangkutan awam.
“Kita juga akan kaji dengan lebih terperinci bagi melihat keperluan golongan ini dalam menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata keselamatan golongan OKU di sekitar kawasan pengangkutan awam perlu diambil serius kerana ramai dalam kalangan mereka bergantung kepada kemudahan itu untuk bergerak.
“Saya berharap keselamatan OKU akan terus diambil serius dengan sekurang-kurangnya meletakkan petugas di stesen pengangkutan awam kerana kemalangan mungkin tidak berlaku jika ada individu lain berada di platform yang boleh memberi amaran atau membantu mereka,” katanya.
Semalam, seorang lelaki OKU penglihatan maut selepas dipercayai terjatuh ke landasan sebelum dilanggar tren di Stesen LRT Titiwangsa.
Ekoran kejadian itu, Kementerian Pengangkutan mengarahkan agar aspek keselamatan di semua stesen tren khususnya kemudahan bagi OKU dikaji semula dan dipertingkatkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial