Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri
ISLAMABAD, 24 Feb (Bernama) -- Pakistan sedang mempergiat usaha memperkukuhkan sektor pelancongannya menerusi kempen digital berskala besar, pembangunan infrastruktur dan menambah baik kebolehcapaian perjalanan termasuk memperkenalkan penerbangan terus dari Dubai.
Pengarah Bahagian Publisiti Luar Pakistan Muhammad Farrukh Rafiq berkata negara itu komited untuk meletakkankan diri sebagai destinasi menarik dan selamat, terutamanya bagi pelancong dari negara Barat serta Arab.
"Keutamaan kami adalah untuk melancarkan kempen digital berkesan bagi menonjolkan potensi pelancongan Pakistan dan memberi jaminan kepada pelancong tentang keselamatan negara ini.
"Selain usaha promosi, kami juga melabur dalam meningkatkan infrastruktur termasuk rangkaian jalan raya dan kemudahan keselamatan bagi meningkatkan pengalaman keseluruhan pengunjung," katanya kepada Bernama baru-baru ini, semasa Program Pertukaran Media/Wartawan ASEAN-Pakistan di sini.
Sebagai sebahagian usaha menambah baik akses perjalanan, Muhammad Farrukh berkata kerajaan Pakistan kini sedang berusaha menyelaraskan laluan penerbangan.
"Buat masa ini, pelancong perlu melalui beberapa pertukaran penerbangan sebelum tiba di Pakistan. Bagi menanganinya, Pakistan sedang berbincang dengan Dubai untuk memperkenalkan penerbangan terus ke destinasi pelancongan utama seperti Skardu di Gilgit-Baltistan.
"Inisiatif ini akan membolehkan pengembara terbang terus dari Dubai ke Skardu tanpa perlu berhenti di Islamabad, menjadikan perjalanan lebih mudah dan lancar," katanya.
Beliau berkata usaha strategik itu mengesahkan komitmen Pakistan untuk memperkukuh sektor pelancongan dan meletakkan diri sebagai destinasi pelancongan utama global.
Program Pertukaran Media ASEAN-Pakistan dari 17 hingga 22 Feb itu dianjurkan oleh Kementerian Penerangan dan Penyiaran Pakistan dengan sokongan Sekretariat ASEAN.
Inisiatif itu menghimpunkan 23 wartawan dari negara anggota ASEAN dan Timor-Leste untuk memupuk kerjasama media serta memperkukuh hubungan serantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial