AM

Pembinaan Projek KBKK Capai Tahap 80 Peratus, Siap 2027 - Nanta

24/02/2025 12:34 PM

PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Projek pembinaan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK) yang telah mencapai tahap kemajuan kira-kira 80 peratus, dijangka siap sepenuhnya pada 2027, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) optimis KBKK dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan kerana baki sekitar 20 peratus lagi projek itu sedang diusahakan oleh kontraktor yang telah dilantik baru-baru ini. 

“Setakat ini kira-kira 80 peratus (projek KBKK) telah siap dibina, jadi tinggal sekitar 20 peratus lagi, baru-baru ini kontraktor baharu telah dilantik dan kerja-kerja akan bermula. Kita difahamkan ia akan mengambil masa juga (kerana beberapa prosedur).

“… (projek KBKK) ini dijangka siap 2027, kita mengambil kira (beberapa faktor), sebab Kelantan ini selalu dilanda monsun dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengurusan Aset Menyeluruh 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Azman Ibrahim dan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Roslan Ismail.

Sebelum ini tular gambar-gambar mengenai status projek KBKK sepanjang 66.9 kilometer (km) bernilai RM2.3 bilion yang didakwa terbengkalai.

Sementara itu Nanta berkata bagi Jalan Persekutuan yang rosak, beliau telah menetapkan supaya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), melaksanakan kerja-kerja pembaikannya dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima, antaranya melalui aplikasi MyJalan atau platform lain. 

“Kita ini perlu bergerak dengan segera apabila kita terima aduan ataupun kita terjumpa jalan rosak, tidak perlulah kita nak tunggu,” katanya dan menambah pihaknya mendapati hanya 30 peratus jalan rosak berlaku di Jalan Persekutuan di bawah penyeliaan JKR.

Berdasarkan statistik sehingga Disember tahun lepas, Nanta berkata pihaknya menerima 26,205 aduan menerusi aplikasi MyJalan daripada lebih 40,000 pengguna berdaftar.

Aplikasi MyJalan merupakan inisiatif bagi memudahkan pengguna jalan raya membuat aduan berkaitan kerosakan jalan yang dilancarkan secara rasmi pada 2 Ogos 2023.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan