EKONOMI

Malaysia, China Terus Perkukuh Kerjasama Dalam Minyak Sawit, Rantaian Bekalan

24/02/2025 12:51 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Malaysia dan China akan mengukuhkan lagi kerjasama dalam rantaian bekalan, inovasi teknologi dan pengembangan pasaran minyak sawit tahun ini, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata kedua-dua negara juga akan bekerjasama untuk mempertingkatkan industri dan mengembangkan nilai penggunaan minyak sawit dalam makanan, produk penjagaan peribadi mewah, farmaseutikal, dan tenaga boleh baharu.

“Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang memperkukuh kerjasama dengan universiti, institusi penyelidikan, dan syarikat di China bagi usaha ini terutama dalam penyelidikan dan pembangunan serta transformasi pasaran.

“Usaha sama kita sedang membangunkan minyak sawit makan yang lebih berkhasiat, produk penjagaan peribadi yang lebih sihat, dan biobahan api lebih mesra alam, memastikan semua inovasi ini dapat memasuki pasaran dengan cepat,” katanya di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum 30 Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia-China mengenai Minyak dan Lelemak.

Forum itu adalah anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi dengan kerjasama Beijing Heyirong Invest Group, serta dianjurkan bersama Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia dan disokong oleh Bursa Komoditi Dalian (DCE) dan Shanghai Bairong Industrial Co Ltd.

Forum tersebut menyediakan platform untuk pemimpin perniagaan terkemuka dan pakar industri bertukar pandangan dan memupuk kerjasama lebih erat dalam industri minyak dan lelemak.

Beijing Heyirong Invest Group ialah antara pengimport terbesar minyak sawit dalam kalangan syarikat tempatan China, dengan jumlah import tahunan 300,000 tan olein sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) serta stearin sawit RBD.

Chan berkata melalui pembangunan bersama dengan kalangan syarikat pemprosesan makanan, barang pengguna cepat laris (FMCG), dan tenaga boleh baharu China, kementerian menyasar untuk mempercepat pengkomersialan produk minyak sawit bernilai tinggi, membolehkan pengguna China menikmati produk minyak sawit berkualiti tinggi dengan lebih cepat.

“Malaysia tetap komited untuk menyediakan bekalan yang stabil dan berkualiti tinggi kepada syarikat China. Pemimpin perniagaan yang hadir hari ini adalah penggerak utama pertumbuhan perdagangan minyak sawit Malaysia-China.

“Oleh itu, kami berharap dapat meningkatkan lagi kerjasama rantaian bekalan, sama ada dalam strategi pemerolehan jangka masa panjang atau promosi jenama dalam pasaran pengguna China, dengan bekerjasama untuk meluaskan penggunaan produk minyak sawit di seluruh China,” katanya.

Chan memetik laporan mengenai minyak sawit berkata pada 2024, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit Malaysia ke China mencecah RM10.57 bilion.

“Antara ini, jumlah eksport minyak isirung sawit mencatatkan peningkatan ketara iaitu 40 peratus, yang kebanyakannya dibekalkan kepada industri oleokimia China untuk menghasilkan surfaktan. Kami amat menghargai sokongan jangka masa panjang daripada industri minyak dan lelemak China,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan