DUNIA

Mohd Nakhaie Tekad Perkasa Dakwah Islam Di Malaysia, Peringkat Global

24/02/2025 01:07 PM

Daripada Noor Bakthtiar Ahmad

MANAMA (Bahrain), 24 Feb (Bernama) -- Wakil rasmi Malaysia yang baharu dalam Majlis Hukama’ Muslimin, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad bertekad memperkasa peranan dakwah dalam menghadapi cabaran umat Islam di peringkat global, khususnya di Asia Tenggara.

Beliau berkata tanggungjawab yang diberikan adalah satu amanah besar, sejajar dengan resolusi yang dipersetujui dalam Persidangan Dialog Intra-Islam yang berakhir pada Khamis (20 Feb) serta pesanan Imam Besar Al-Azhar Al-Sharif Prof Dr Ahmed El-Tayyeb yang juga Pengerusi Majlis Hukama’ Muslimin mengenai peranan ulama dalam membimbing umat Islam.

“Ini satu penghormatan besar. Walaupun tugas ini berat, saya menyahut cabaran dengan hasrat untuk membimbing golongan muda dan intelektual ke arah perjuangan yang memberi impak bermakna kepada umat Islam,” katanya kepada Bernama di luar Persidangan Dialog Intra-Islam di sini.

Persidangan Dialog Intra-Islam yang dianjurkan bersama oleh Al Azhar Al Sharif, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam (SCIA) Bahrain dan Majlis Hukama’ al-Muslimin menghimpunkan lebih 400 ulama Islam, pemimpin agama, cendekiawan dan pakar dari seluruh dunia.

Ia juga dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diberi penghormatan sebagai satu-satunya ketua kerajaan yang dijemput untuk menyampaikan ucaptama.

Perdana Menteri yang dalam lawatan rasminya ke sini minggu lepas, turut mengadakan pertemuan dengan El-Tayyeb dan membincangkan penubuhan rasmi Majlis Hukama’ Muslimin di Malaysia.

Anwar juga memperkenalkan Mohd Nakhaie sebagai wakil Malaysia yang baharu dalam majlis pertemuan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Nakhaie menegaskan bahawa Malaysia memiliki jaringan baik dengan ulama di seluruh dunia yang perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh kefahaman Islam yang sahih dalam kalangan umat.

“Kefahaman Islam yang benar amat penting, bukan sahaja untuk pembangunan negara tetapi juga bagi memastikan perpaduan rakyat. 

“Ketika dunia Islam berdepan cabaran besar, kita tidak seharusnya terikat dengan perdebatan kecil yang hanya memecahbelahkan ummah,” katanya.

Beliau turut menggesa umat Islam memberi perhatian kepada isu utama seperti krisis di Palestin dan cabaran hidup dalam masyarakat majmuk, berbanding perbezaan kecil dalam akidah yang sering menjadi bahan perdebatan.

"Masalah utama umat Islam hari ini bukan sekadar perbezaan pandangan, tetapi kegagalan mengurus perbezaan itu dengan baik. Dalam isu Palestin, misalnya, kita banyak bersuara tetapi masih belum membentuk gerakan bersatu yang benar-benar berkesan," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mewakili Malaysia dalam Majlis Hukama’ Muslimin.

“Kami telah lama bersama dalam perjuangan Islam. Walaupun usia semakin lanjut, semangat dakwah tetap membara,” katanya.

Majlis Hukama’ Muslimin ialah sebuah badan ulama terkemuka dunia yang berperanan membincangkan isu Islam serta cabaran global yang dihadapi umatnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan