EKONOMI

Gamalux Berkembang Dengan Kilang Baharu, Sasar Teraju Tenaga Bersih

25/02/2025 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Gamalux telah meraih kejayaan yang ketara melalui pembinaan kilang baharunya di Pulau Indah, yang sedang berjalan mengikut jadual dan dijangka siap menjelang suku kedua 2025.

Pengeluar bahan bakar tenaga mampan serta boleh baharu untuk bahan bakar penerbangan lestari (SAF) itu menjelaskan melalui satu kenyataan hari ini, fasiliti tersebut akan menjadi tonggak utama dalam strategi pengembangan Gamalux, meningkatkan keupayaan pengeluaran selain mengukuhkan keupayaannya bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga mampan.

"Berkeluasan 3.23 hektar di Taman Perindustrian Pulau Indah, kilang itu akan menampilkan teknologi pembuatan tercanggih, proses yang mesra alam dan rangkaian rantaian bekalan bersepadu," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Usman Ahmed berkata dengan kapasiti pengeluaran tahunan sekitar 90,000 tan dari pelbagai bahan bakar yang boleh baharu serta mampan untuk SAF dan minyak sayuran rawatan hidro, kemudahan ini bukan sahaja akan menyokong pasaran sedia ada syarikat tetapi mampu mewujudkan peluang baharu bagi penyelesaian tenaga bernilai tinggi.

“Kilang pembuatan baharu di West Port, Port Klang, merangkumi komitmen kami terhadap inovasi, kemampanan dan kecemerlangan. Ia mewakili asas pelan pengembangan masa depan kami, membolehkan syarikat memanfaatkan pasaran baharu, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan termasuk menguatkan kedudukan syarikat sebagai pemimpin dalam industri,” tambahnya lagi.

Melihat ke hadapan, Gamalux mahu merintis amalan mampan yang sejajar dengan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus global, mempelbagaikan garis produk serta mengembangkan jangkauan pasarannya.

"Syarikat sedang melabur dalam usaha penyelidikan dan pembangunan termaju selain memupuk perkongsian strategik untuk memacu pertumbuhan bersama, menyumbang kepada penyelesaian tenaga hijau, dan mewujudkan nilai yang berkekalan bagi pihak berkepentingan serta komuniti," katanya.

Bersempena dengan Pameran dan Persidangan Unjuran Minyak Sawit Laurik ke -36 (POC 2025), Gamalux telah menganjurkan Makan Malam Perniagaan Gamalux 2025 yang sangat dinanti-nantikan untuk meraikan pencapaian syarikat dan mengemukakan visinya untuk masa depan.

Antara yang hadir adalah Ketua Menteri Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Syed Ahsan Raza Shah, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Razali Mohamad dan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Datuk. Gulam Kadir

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan