EKONOMI

KPK Rancang Bekerjasama Dengan ST, TNB Sepadukan RE Minyak Sawit Ke Grid Nasional

25/02/2025 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) merancang untuk menjalin kerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) bagi memanfaatkan tenaga boleh baharu (RE) berasaskan minyak sawit dalam mengembangkan ketersambungan grid tenaga negara.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata usaha itu memerlukan kerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Inisiatif ini juga sejajar dengan strategi pelaburan jangka panjang TNB dalam infrastruktur tenaga mampan.

“Tambahan pula, RE menyediakan peluang besar bagi pelaburan langsung asing (FDI), meletakkan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi pelabur yang ingin menyokong peralihan negara kepada sumber tenaga yang lebih bersih,” katanya dalam ucap tama pada Persidangan Tinjauan Harga Sawit dan Laurik Ke-36 (POC 2025) hari ini.

Beliau berkata walaupun peralihan ini tidak boleh berlaku dalam sekelip mata, kerajaan membayangkan industri minyak sawit  bakal menjadi pengeluar TBB utama di Malaysia.

“Memandangkan negara secara beransur-ansur menghentikan loji jana kuasa arang batu pada tahun-tahun akan datang, minyak sawit berpotensi untuk berfungsi sebagai sumber tenaga alternatif.

“Sebagai contoh, dalam dekad yang akan datang, semua kilang minyak sawit dan kilang penapisan dijangka beroperasi menggunakan RE. Anjakan ini bukan sahaja menggalakkan penjimatan tenaga tetapi juga mewujudkan peluang untuk lebihan tenaga dijual kepada grid,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan