SEREMBAN, 25 Feb (Bernama) -- Seorang bekas pengurus kilang simen di Negeri Sembilan direman sehingga 2 Mac ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000, sebagai balasan mempercepat bayaran kerja pembersihan dan membaik pulih serta mendapatkan projek di kilang tempatnya bekerja antara tahun 2018 dan 2020.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali, selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan.
Menurut sumber, lelaki berusia sekitar 50-an itu ditahan kira-kira 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara tahun 2018 hingga 2020, dengan meminta dan menerima rasuah daripada pemilik sebuah syarikat kejuruteraan melalui pendepositan wang ke dalam akaun milik suspek.
“Lelaki itu juga disyaki menerima suapan secara bulanan antara RM450 hingga RM550 melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial