AM

Kesedaran Mencarum SKSSR Di Kelantan Masih Rendah - Perkeso

25/02/2025 07:17 PM

KOTA BHARU, 25 Feb (Bernama) -- Tahap kesedaran rakyat negeri ini untuk mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) masih lagi rendah, kata Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan Nora Yaacob.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan 5,000 individu menyertai SKSSR pada tahun lepas namun sasaran yang dicapai hanya 3,000 pencarum atau 60 peratus.

Nora berkata ini menunjukkan kesedaran masyarakat masih rendah walaupun skim yang diperkenalkan pada 2022 itu menawarkan pelbagai faedah sekiranya pencarum ditimpa keuzuran, kemalangan serta kematian.

"Ini boleh dianggap satu kerugian sekiranya tidak merebut peluang untuk mencarum menerusi skim ini kerana banyak kelebihan bagi melindungi golongan wanita dengan kadar bayaran RM120 setahun," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kotak Perkeso Prihatin dan bayaran faedah SKSSR kepada Ahmad Zikri Ariffin, 38, di Jalan Bayam, di sini hari ini.

Nora berkata wanita berumur 54 tahun ke bawah layak mencarum SKSSR termasuk yang bekerja dengan faedah yang bakal diperoleh seperti perubatan, hilang upaya kekal, elaun keuzuran, kemudahan jasmani dan dialisis serta faedah pengurusan jenazah dan pencen penakat sekiranya berlaku kematian.

Sementara itu, Ahmad Zikri mengakui terkejut apabila menerima faedah daripada SKSSR selepas Allahyarham isterinya Wan Mastura Hassan, 33, mula mencarum pada 2023 tanpa pengetahuannya.

"Arwah isteri meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru selepas demam berpanjangan Nov 2024. Saya akan terima faedah ini sehingga saya mencapai umur 55 tahun mahupun sehingga ketiga-tiga anak saya yang berumur lapan hingga 13 tahun mencapai umur 21 tahun. 

"Saya ucap terima kasih kepada Perkeso kerana dengan adanya bantuan faedah menerusi skim yang dicarum oleh arwah isteri saya ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban menampung perbelanjaan anak-anak dengan pendapatan sedia ada sekitar RM400 sebulan," katanya.

--BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan