AM

Caj Tapak Bazar Ramadan DBKL Serendah RM500

25/02/2025 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Caj bagi setiap tapak Bazar Ramadan yang dikendalikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikenakan serendah RM500 sahaja, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa caj tersebut termasuk cagaran RM200 yang akan dipulangkan kepada peniaga sekiranya tiada pelanggaran syarat lesen.

“Ini bermakna penjaja hanya perlu membayar RM300 sahaja untuk satu petak Bazar Ramadan. Kadar ini dianggap berpatutan dan mampu dimiliki, terutamanya bagi peniaga kecil.

“Kadar ini juga jauh lebih rendah berbanding dengan caj yang dikenakan di sesetengah tempat lain, terutama jika dikendalikan oleh pihak swasta, seperti yang masih berlaku di beberapa bandar di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan memaklumkan hanya lima peratus pemegang Sijil Pengurusan Halal Malaysia (SPHM) didapati tidak mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.

“Sepanjang Januari hingga Disember 2024, sebanyak 4,129 syarikat atau premis pemegang SPHM telah dipantau di seluruh negara. Hasil daripada pemantauan didapati 95 peratus syarikat mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan usul berkenaan.

Selain itu, katanya sepanjang 2024, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri telah mengambil tindakan terhadap 337 aduan awam berkaitan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 termasuk berkaitan penyalahgunaan logo halal.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dibawa Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang dibahas sejak 4 Feb lepas dengan lebih suara bersetuju. 

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan