AM

1,868 Daripada 76,000 Babi Dijangkit ASF Di Selangor Mula Dilupus

25/02/2025 10:04 PM

SHAH ALAM, 24 Feb (Bernama) -- Sebanyak 1,868 ekor babi dari dua ladang di Selangor telah dilupuskan bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor Dr Hassuzana Khalil berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 76,000 ekor babi yang disahkan dijangkiti ASF selepas ujian persampelan dilakukan terhadap ternakan itu di 114 ladang yang dilesenkan di Sepang dan Kuala Langat.

Beliau berkata pelupusan menerusi kaedah eutanasia (euthanasia) menggunakan gas karbon dioksida berkepadatan tinggi sebelum ditanam di ladang berkenan dilaksanakan pada 5 Feb lepas.

“Pelupusan babi yang pertama telah selesai dibuat pada 5 Feb melibatkan 668 ekor di Sepang diikuti 1,200 ekor babi di Kuala Langat mengikut Arahan Prosedur Tetap Veterinar Malaysia (APTVM).

“Baki lebih kurang 74,000 ekor babi lagi akan dilupus secara berperingkat hingga Mac ini,” katanya pada sidang media perkembangan terkini penularan wabak ASF di Selangor di sini hari ini.

Dr Hassuzana berkata daripada 114 ladang yang ada, pemeriksaan dan pengawasan yang dijalankan mendapati indeks penyakit ASF ditemukan pada 56 ladang babi dengan baki ternakan yang tidak dijangkiti, pemindahan babi masih dibenarkan untuk tujuan penyembelihan di rumah sembelihan yang dilesenkan. 

Beliau berkata DVS Selangor juga mengambil beberapa langkah proaktif lain bagi mengekang penularan penyakit ASF secara berkesan berlandaskan Akta Binatang 1953, seperti memperketat syarat pemindahan keluar masuk babi di dalam Selangor.

Syarat itu antara lain menggariskan pemindahan babi hanya dibenarkan di dalam Selangor dan untuk tujuan penyembelihan di rumah sembelihan dilesenkan serta menetapkan laluan pergerakan kenderaan pengangkut ke rumah penyembelihan.

“Sekiranya kenderaan pengangkut dikesan tidak berada di laluan yang ditetapkan semasa memindahkan babi, orang yang memindahkan ternakan itu telah melakukan kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah,” katanya.

Dr Hassuzana berkata pihaknya turut memperhebat kawalan pemindahan babi dan karkas babi keluar Selangor melalui rondaan dan pemantauan di sempadan negeri berkenaan.

Beliau berkata hasil tindakan penguatkuasaan itu, sebanyak 37 kenderaan pengangkut telah diperiksa dalam Op ASF dengan enam daripadanya disita.

“Sebanyak 68 ekor babi dengan anggaran berat 9.4 tan metrik turut disita atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 34 dan Seksyen 36 Akta Binatang 1953 dengan tujuh kertas siasatan dibuka untuk tujuan pendakwaan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan