DUNIA

ASEAN 2025: Malaysia Komited Pastikan Asia Tenggara Kekal Bebas Senjata Nuklear

25/02/2025 10:21 PM

PUTRAJAYA, 25 Feb (Bernama) -- Malaysia sebagai pengerusi ASEAN semasa telah menegaskan komitmennya untuk memastikan Asia Tenggara kekal sebagai zon bebas senjata nuklear selaras dengan Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini pada Rabu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan demikian ketika menyampaikan kenyataan negara melalui rakaman pada Segmen Peringkat Tinggi Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata (CD) 2025 di Geneva, Switzerland pada 24 Feb.

Beliau menekankan keperluan mendesak untuk memajukan agenda pelucutan senjata di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan ancaman berterusan senjata nuklear, sambil menyatakan bahawa penghapusan total senjata nuklear adalah satu-satunya jaminan mutlak terhadap penggunaannya.

Beliau juga menyeru negara senjata nuklear untuk memenuhi komitmen pelucutan senjata mereka, dengan menyeru mereka untuk terlibat dalam rundingan niat baik bagi memajukan inisiatif pelucutan senjata multilateral.

Sebagai Presiden kelima CD tahun ini, Malaysia berhasrat untuk memudahkan perbincangan yang bermakna ke arah kemajuan ketara dalam pelucutan senjata nuklear, menurut kenyataan itu.

Mohamad menekankan advokasi Malaysia terhadap prinsip keterangkuman dan multilateralisme, dengan menegaskan bahawa tindakan kolektif adalah penting dalam menangani cabaran keselamatan global, termasuk percambahan nuklear.

Penglibatan berterusan Malaysia dalam CD mencerminkan komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap dunia yang bebas daripada senjata pemusnah besar-besaran serta keamanan dan keselamatan global, tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan