AM

Platform Digital eCLIPSE Bakal Ubah Proses Pelesenan Penerbangan

25/02/2025 11:01 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) secara rasmi melancarkan platform inovatif e-CAAM Licensing Professional Services (eCLIPSE) yang merevolusikan proses pelesenan bagi petugas penerbangan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen kukuh kerajaan terhadap pendigitalan dan inovasi sekali gus meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kebolehcapaian dalam proses berkaitan penerbangan.

"Menerusi eCLIPSE, kita membawa peningkatan ketara kepada proses ini. Sebelum ini, petugas penerbangan mengambil masa hingga dua minggu untuk membaharui lesen mereka. Dengan sistem ini juga, tempoh pemprosesan dikurangkan separuh, menjadikan ia lebih mudah untuk juruterbang, jurutera dan pengawal trafik udara.

"Ia langkah utama ke hadapan dalam memastikan pengalaman yang lebih lancar dan mesra pengguna sambil mengekalkan piawaian kawal selia tertinggi," katanya dalam ucapan sebelum melancarkan platform eCLIPSE di sini hari ini.

Loke berkata Malaysia sentiasa berusaha menjadi perintis dalam kemajuan penerbangan dan hari ini, negara dengan bangga menjadi yang pertama di Asia Tenggara melaksanakan proses pelesenan secara digital sepenuhnya untuk petugas penerbangan.

Beliau percaya inisiatif ini akan membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam inovasi kawal selia penerbangan sekali gus menjadi penanda aras bagi negara lain di rantau ini.

"Saya juga gembira dimaklumkan bahawa eCLIPSE dibangunkan sepenuhnya secara dalaman oleh CAAM, menunjukkan bukan sahaja kepakaran teknikal CAAM, tetapi juga dedikasi pihak berkuasa itu dalam memanfaatkan bakat dan sumber tempatan untuk mencipta penyelesaian bertaraf dunia.

"Dengan membangunkan platform ini secara dalaman, CAAM memastikan sistem ini disesuaikan dengan rangka kerja kawal selia tempatan sambil kekal beradaptasi terhadap kemajuan teknologi penerbangan pada masa depan," katanya.

Ciri-ciri utama platform eCLIPSE termasuk pendekatan Mobile-First yang membolehkan petugas penerbangan menguruskan permohonan lesen mereka pada bila-bila masa dan di mana sahaja, proses pelesenan menyeluruh dan integrasi pembayaran dalam talian yang lancar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud menekankan impak positif eCLIPSE dalam industri penerbangan.

"Dengan platform ini, kami memperkukuh komitmen terhadap pendigitalan, memastikan petugas penerbangan dapat mengurus keperluan pelesenan mereka dengan lebih mudah. Inisiatif ini sejajar dengan visi CAAM yang lebih luas dalam memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan piawaian penerbangan di Malaysia," katanya.

Norazman berkata pelancaran platform e-lesen ini selaras dengan agenda pendigitalan nasional Malaysia, mencerminkan kesediaan sektor penerbangan dalam menerima penyelesaian moden.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan