Oleh Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Sekretariat ASEAN yang berpangkalan di Jakarta harus diberi lebih banyak kuasa untuk mengenal pasti negara yang menggunakan halangan bukan tarif (NTB).
Semasa membuat gesaan itu Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC)Tan Sri Nazir Razak, berkata NTB ini perlu dikenal pasti dan "perlu ada seseorang untuk meminta negara-negara ini membatalkannya."
“Isunya adalah siapakah yang perlu memainkan peranan. Kita perlu memberi sedikit kuasa kepada Sekretariat ASEAN,” katanya kepada Bernama menjelang Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) pada Jumaat ini di Desaru, Johor.
Nazir berkata langkah memperkasakan Sekretariat ASEAN itu boleh membantu mengurangkan halangan kepada perdagangan dan pertumbuhan sektor swasta serta mengukuhkan integrasi ekonomi di Asia Tenggara.
Pada masa ini, Sekretariat ASEAN berfungsi sebagai penyelaras untuk memudahkan proses membuat keputusan yang efektif dalam kalangan badan ASEAN.
"Walaupun 99 peratus tarif intra-ASEAN dihapuskan, NTB terus meningkat, dengan lebih 6,000 langkah-langkah direkodkan," kata Nazir, yang juga Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia.
Beliau berkata NTB boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti prosedur kastam yang rumit, keperluan pelesenan dan sekatan import, antara lainnya.
“Justeru ASEAN perlu menyelaraskan lagi peraturan, meningkatkan ketelusan dan mengurangkan kos pematuhan,” katanya.
Nazir menegaskan perkara utama yang perlukan dilakukan adalah mengambil tindakan, yang mana NTB perlu dikenal pasti dan negara-negara terbabit perlu diminta membatalkannya.
Beliau berpandangan para menteri perlu mengutamakan pelaksanaan rancangan untuk memacu integrasi serantau dan meliberalisasikan perdagangan dengan menangani cabaran berterusan termasuk halangan perdagangan.
Dalam konteks ASEAN, kemajuan sering dihalang oleh perbincangan yang berpanjangan tanpa tindakan konkrit, katanya sambil menambah "untuk benar-benar merealisasikan wawasan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), kita mesti mengutamakan pelaksanaan."
ASEAN-BAC Malaysia mencadangkan inisiatif antara lainnya supaya negara-negara ASEAN mengiktiraf kategori yang dipanggil Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) untuk memupuk syarikat-syarikat tempatan atau global untuk diberikan beberapa keistimewaan dalam usaha menggalakkan lebih banyak perniagaan serantau.
Setelah diperakui sebagai ABE, syarikat boleh menikmati insentif dan keistimewaan yang diberikan oleh negara anggota, termasuk akses pasaran yang lebih besar dan menjalankan aktiviti perniagaan, termasuk penyumberan luar seperti operasi teknologi maklumat (IT) di negara ASEAN lain.
Nazir berkata ASEAN juga perlu melaksanakan pendekatan yang dipacu oleh keputusan atau hasil dengan konsensus serta disusuli dengan pelaksanaan serta intervensi yang aktif.
“ASEAN-BAC telah membuat persiapan bagi tahun kepengerusian Malaysia selama 18 bulan, oleh itu keutamaan serta inisiatif ini mendapat sokongan baik dari segi analisis dan pelan pelaksanaannya.
“Adalah diharapkan AEM dapat meluluskannya agar kita dapat memuktamadkan semua butiran yang diperlukan untuk dibentangkan kepada kerajaan serta pemimpin ASEAN bagi tempoh sepanjang tahun ini," katanya.
Permukiman anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu akan dipengerusikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Mengulas selanjutnya, Nazir berkata AEM pertama itu lazimnya berperanan sebagai sesi penetapan bagi tahun kepengerusian yang menyaksikan ASEAN-BAC secara rasminya mengetengahkan keutamaan dan inisiatifnya sebagaimana agensi-agensi lain.
“ASEAN-BAC telah mengemukakan cadangan bagi integrasi serantau kepada Sekretariat ASEAN dan secara aktif bekerjasama dengan mereka untuk dilaksanakan pada tahun ini atau memastikan kelangsungannya melangkaui (tempoh) kepengerusian Malaysia.
“Matlamat kita adalah untuk menginstitusikan inisiatif-inisiatif ini agar ia terus dilaksanakan dan memacu penyepaduan ekonomi jangka panjang serta merentasi ASEAN berbanding hanya terhad kepada satu penggal kepengerusian,” katanya.
Ditanya mengenai tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas China yang juga rakan dagang utama serta pelabur penting di sebahagian besar negara-negra ASEAN, Nazir berkata “ancaman sebenar tarif AS ke atas China akan turut memberi risiko ke atas ekonomi-ekonomi ASEAN.”
Keadaan itu berikutan kedudukan China sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan dua halanya melebihi US$900 bilion (US$1=RM4.42) pada 2023.
Berikutan itu, Nazir berkata kemungkinan kesannya adalah dalam bentuk gangguan rantaian bekalan serta lencongan perdagangan.
Namun, tegasnya, pada masa sama, ini turut mengundang cabaran serta peluang untuk ASEAN.
“Semakin banyak tembok (halangan) dibina, maka kita juga sewajarnya memperluaskan lagi meja rundingan. ASEAN juga harus mempelbagaikan rakan ekonominya.
“Wujud banyak keperluan untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Eropah dan Kanada,” katanya.
Berlatar belakang senario sedemikian, Nazir menyifatkan rancangan menganjurkan Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk)-China di Kuala Lumpur pada Mei ini, sebagai satu inisiatif yang amat baik.
Beliau berkata perhimpunan barisan pemimpin dan pegawai kanan kerajaan dari GCC dan China itu juga perlu dimanfaatkan oleh kalangan perniagaan untuk menjalankan lebih banyak perniagaan di kedua-dua rantau berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial