EKONOMI

Yayasan Peneraju Perkenal Skim Pembiayaan Baharu, Sasar 1,500 Lepasan Sekolah

26/02/2025 10:09 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Yayasan Peneraju melancarkan skim pembiayaan baharu yang menyaksikan dana akan disalurkan terus ke akaun individu dan bukannya institusi pendidikan serta latihan terbabit.

Inisiatif yang diumumkan hari ini, menandakan peralihan dalam pendekatan yang diambil yayasan itu selepas 13 tahun membuat pembayaran terus kepada institusi.

Mengikut skim baharu tersebut, pemohon bumiputera yang layak akan menerima bantuan kewangan dan bertanggungjawab membuat pembayaran kepada institusi pilihan, dengan syarat mereka mendapat kelulusan yayasan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ibrahim Sani berkata perubahan yang diperkenalkan itu menyediakan lebih  fleksibiliti, membolehkan individu memiliki kawalan sepenuhnya terhadap pendidikan mereka.

Katanya, terdapat tiga pilihan pembiayaan ditawarkan iaitu perak, emas dan platinum.

“Pakej perak menawarkan biasiswa sekali sahaja sehingga RM15,000 bagi pensijilan dan latihan dengan dana disalurkan terus kepada pemohon.

“Pakej emas yang distruktur sebagai pinjaman, menyediakan dana sehingga RM30,000 dengan membenarkan beberapa permohonan, dengan syarat pemohon sudah melengkapkan pensijilan terdahulu dan membayar balik 50 peratus daripada jumlah yang diterima,” katanya kepada media selepas pelancaran skim itu di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, pakej platinum pula menawarkan pembiayaan sehingga RM150,000, menjadikan ia lebih sesuai untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian dalam Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) atau kelayakan Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) di institusi yang diluluskan oleh yayasan.

Beliau berkata, pakej platinum biasanya membabitkan tempoh pengajian empat hingga lima tahun, dengan penerima dikehendaki membayar balik 20 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Bagaimanapun, jika mereka lulus semua peperiksaan, pinjaman itu akan ditukar kepada biasiswa penuh.

“Kami turut menggalakkan golongan profesional yang bekerja untuk memilih pakej platinum untuk mendapatkan pensijilan seperti penganalisis kewangan bertauliah atau profesional pengurusan projek, kerana kelayakan itu mempunyai nilai lebih tinggi berbanding pensijilan yang lain,” katanya.

Ibrahim berkata, permohonan dibuka bermula hari ini dan ditawarkan sepanjang tahun di seluruh negara untuk semua individu bumiputera berumur 16 tahun dan ke atas.

“Pada awalnya kami melancarkan 22 program pensijilan dan menjelang 27 April, sehari selepas pengumuman keputusan SPM, jumlahnya akan ditambah kepada lebih 200.

“Oleh itu, saya menggesa pemohon untuk melayari laman sesawang kami dengan kerap untuk mendapatkan kemas kini program yang ditawarkan.

“Tahun ini, kami meningkatkan peruntukan pembiayaan pendidikan dengan ketara, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai penerima.

“Secara khusus, kami menyasarkan 1,500 lepasan sekolah iaitu meningkat daripada 500 berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli yang hadir pada majlis itu memuji langkah Yayasan Peneraju meluaskan peranannya dalam pembangunan bakat.

“Dengan menyepadukan pensijilan yang dipacu industri dan menyediakan bantuan kewangan yang fleksibel, Yayasan Peneraju dapat memastikan tenaga kerja di negara ini bukan sahaja mahir tetapi juga bersedia untuk pasaran masa depan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan