AM

Speaker Perak Serah Notis Kekosongan DUN Ayer Kuning Kepada SPR

28/02/2025 11:33 AM

IPOH, 28 Feb (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid hari ini menyerahkan notis kekosongan DUN Ayer Kuning kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin.

Notis itu diserahkan kepada Pengarah SPR Perak Mohd Nazri Ismail di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada 10.15 pagi tadi.

"Tujuan sesi ini diadakan adalah bagi memberi pemakluman rasmi dari Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak berkaitan Notis Kekosongan Luar Jangka Kerusi Ahli Dewan Negeri Kawasan N.48  Ayer Kuning," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohammad Zahir berkata beliau menerima pemakluman kekosongan kerusi itu daripada Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak Datuk Seri Saarani Mohamad pada awal minggu ini.

"Sehubungan itu, selaras dengan Perkara 36 (5) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, kekosongan luar jangka ini hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya kekosongan itu berlaku," katanya.

Mohammad Zahir berkata ketika ini Persidangan DUN Perak dijangka berlangsung dari 15 hingga 19 April ini dan beliau percaya SPR akan mengambil kira perkara itu.

Dalam pada itu, Mohammad Zahir berkata Allahyarham seorang pemimpin berjiwa rakyat dan sering mengutarakan isu-isu kawasannya. 

"Allahyarham juga aktif dan komited dalam badan legislatif negeri Perak dan turut dilantik dalam dua Jawatankuasa Dewan Negeri iaitu Jawatankuasa Kebajikan Ahli dan Jawatankuasa Pilihan Khas Haiwan Berkeliaran Negeri Perak," katanya.

Ishsam, 59, meninggal dunia disebabkan serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang pada Sabtu. 

Sehubungan itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning perlu diadakan memandangkan penggal DUN ke-15 Perak belum mencapai tempoh mandat tiga tahun.

Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018 memenangi DUN berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dengan memperoleh 2,213 majoriti undi melalui pertembungan lima penjuru.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan