DUNIA

Sweden Sokong Perjanjian Perdagangan Bebas EU-Malaysia Untuk Perkukuh Hubungan Ekonomi

01/03/2025 06:05 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Sweden menyatakan sokongan penuh terhadap perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia, dengan harapan ia dapat dimuktamadkan tahun ini bagi merangsang kerjasama ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan dari Eropah.  

Timbalan Speaker Parlimen Ketiga Sweden, Kerstin Lundgren berkata perjanjian itu berpotensi meningkatkan kehadiran Malaysia dalam pasaran Eropah serta menjadi pemangkin kepada kerjasama ekonomi lebih luas antara ASEAN dan EU.  

“Kami akan menyokong usaha ini dan saya berharap ia dapat dimeterai tahun ini.  

"Perjanjian perdagangan bebas dengan EU dapat membantu Malaysia berkembang lebih baik serta menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dari Eropah.

"Ia juga boleh membuka peluang bagi negara Asia Tenggara lain,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.  

Pada Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden EU Ursula von der Leyen mengumumkan penyambungan semula rundingan FTA Malaysia-EU selepas tertangguh lebih sedekad disebabkan kebimbangan terhadap dasar pemerolehan minyak sawit dan klausa kelestarian.  

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan bahawa usaha itu menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia dengan satu daripada blok perdagangan terbesar dunia serta menunjukkan komitmen negara untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dengan EU.

Sebagai sebahagian daripada komitmen Sweden terhadap Malaysia, Lundgren menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dalam perdagangan, kelestarian dan tadbir urus dalam rangka kerja ASEAN.  

Beliau turut mengetengahkan teknologi hijau serta kerjasama akademik sebagai bidang utama untuk diperluaskan, manakala  syarikat Sweden sudah pun melabur dalam sektor tenaga boleh diperbaharui serta penyelesaian kecekapan tenaga di Malaysia.  

"Malaysia mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang, terutama dalam iklim panas dan sebagai sebuah negara di kawasan utara, adalah penting bagi kami untuk belajar daripada pengalaman anda," katanya.  

Lundgren menegaskan bahawa pelaburan itu mengukuhkan peranan Malaysia sebagai rakan strategik dalam usaha kelestarian, sambil menambah bahawa kepimpinan Malaysia dalam ASEAN serta agenda kemampanannya selari dengan keutamaan Sweden dalam kerjasama ekonomi dan diplomatik serantau.  

Selain perdagangan, Lundgren turut berkongsi pandangan mengenai sistem parlimen Sweden, dengan membandingkan sistem satu dewan (Riksdag) di negaranya dengan sistem dwidewan yang diamalkan di Malaysia.  

Beliau menjelaskan bahawa sistem parlimen Sweden yang diperkenalkan pada 1974 bertujuan mengukuhkan demokrasi dengan memastikan perwakilan rakyat secara langsung dalam keputusan kerajaan.  

Lundgren, yang berperanan besar dalam parlimen Sweden, turut menekankan kepentingan penyertaan wanita dalam politik.  

Menurutnya, wanita kini merangkumi 47 peratus daripada keseluruhan ahli parlimen Sweden, hasil daripada usaha parti politik yang aktif mempromosikan kesaksamaan jantina melalui sistem pilihan raya yang menggalakkan penyertaan wanita.  

“Kami cuba melakukan yang terbaik. Kami bukan yang teratas, tetapi kami telah mencapai kemajuan,” katanya, merujuk kepada pemilihan perdana menteri wanita pertama Sweden pada November 2021 serta peningkatan jumlah wanita dalam jawatan kepimpinan.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan