EKONOMI

Vietnam Sokong Keutamaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia Pada 2025

02/03/2025 10:32 AM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Vietnam menyatakan sokongan padu terhadap keutamaan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini sekali gus mengukuhkan keyakinannya terhadap kepimpinan negara ini dalam mengemudi blok serantau ke arah kemajuan yang lebih bermakna.

Jabatan Dasar Perdagangan Pelbagai Hala Vietnam dalam satu kenyataan berkata, pihaknya percaya Malaysia akan memainkan peranan penting dalam memacu ASEAN ke arah pencapaian yang signifikan dengan matlamat mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi antara ASEAN.

"Sebagai sumbangan kepada kejayaan Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-31 (AEMR31), Vietnam menyediakan input dan mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan mengenai topik agenda serta menyatakan sokongan terhadap keutamaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada 2025.

"(Vietnam juga) menegaskan (keyakinan) iaitu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 akan terus mengemudi ASEAN ke arah pencapaian yang signifikan selaras dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan'," katanya.

Sementara itu, mengenai AEMR31 yang diadakan di Desaru, Johor dari 22 hingga 27 Feb, 2025, delegasi Vietnam dipimpin oleh Timbalan Menteri Industri dan Perdagangannya, Nguyễn Sinh Nhật Tân bersama wakil-wakil dari Kementerian Industri dan Perdagangan serta Kementerian Luar Negerinya.

Ia juga berkata di luar mesyuarat tersebut, kepimpinan dari Kementerian Industri dan Perdagangan Vietnam mengadakan sesi kerja selain perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Perdagangan dan Industri Singapura.

Selain itu, perbincangan turut diadakan bersama Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (Pengerusi ASEAN 2025), Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Filipina serta delegasi-delegasi lain.

"Perbincangan ini tertumpu kepada program kerjasama dua hala selain penyelesaian isu dalam hubungan perdagangan dua hala, khususnya dalam produk pertanian dan bidang-bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama," katanya.

Permukiman itu diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun ini dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan' yang mencerminkan aspirasi negara bagi mewujudkan komuniti ASEAN yang lebih terangkum, makmur dan mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan