KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Handal Energy Bhd, Handal Hospitality Sdn Bhd (HHSB) telah menandatangani memorandum perjanjian dengan Hartanah Azzahrah Sdn Bhd untuk pembelian dua hospital bernilai pada harga tidak kurang daripada RM69 juta.
Handal dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata mereka berhasrat untuk menceburi sektor penjagaan kesihatan.
“Perjanjian itu membabitkan HHSB bertindak sebagai penghubung untuk mendapatkan pembeli yang akan dikenal pasti bagi pembelian Hospital Islam Az-Zahrah Bangi dan Hospital Az-Zahrah Bandar Tun Hussein Onn,” katanya.
Selepas pembelian itu berjaya, pembeli akan memajakkan hartanah tersebut kepada HHSB, seterusnya akan menyewakannya kepada Medi-Circle Sdn Bhd dan Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah Sdn Bhd untuk beroperasi sebagai kemudahan penjagaan kesihatan swasta.
Handal berkata perjanjian itu seiring dengan strateginya untuk mempelbagaikan portfolio perniagaannya dan memanfaatkan sektor penjagaan kesihatan swasta yang semakin berkembang, ia menawarkan prospek pertumbuhan jangka panjang stabil.
"Jika berjaya, kumpulan itu menyasarkan untuk menjana pendapatan stabil dan berulang melalui perjanjian pajakan jangka panjang hospital tersebut," katanya.
Kumpulan itu berkata di bawah perjanjian itu, hospital berkenaan akan dipajak untuk tempoh 30 tahun dengan kadar sewa tahunan sebanyak 8.0 peratus daripada kos pembelian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial