98 PROGRAM JALB DI SARAWAK LIBATKAN KOS RM9.04 BILION
KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) meluluskan 98 projek dengan keseluruhan kos berjumlah RM9.04 billion untuk Sarawak di bawah program Jalan Luar Bandar (JALB), Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata daripada jumlah itu, 11 projek melibatkan kerja-kerja menaik taraf bekas jalan balak di seluruh Sarawak dengan keseluruhan kos RM759.0 juta.
Beliau berkata sembilan projek JALB diluluskan di Parlimen Hulu Rajang melibatkan kos RM674.9 juta, dengan dua daripadanya merupakan projek menaik taraf bekas jalan balak dan status kedua-duanya di peringkat pembinaan.
“Kemajuan fizikal bagi Projek Menaik Taraf Jalan Balak ke Penempatan Semula Tegulang (Fasa 5) di Kapit, adalah 44.24 peratus dan dijangka siap pada Oktober 2025 manakala kemajuan fizikal Projek Menaik Taraf Jalan Balak ke Penempatan Semula Metalun (Fasa 6) juga di Kapit, adalah 5.73 peratus dengan projek ini dijangka siap pada Mac 2027.
“Agensi pelaksana bagi kedua-dua projek ini adalah Jabatan Kerja Raya Sarawak,” katanya bagi menjawab soalan Senator Michael Mujah Lihan berkaitan projek naik taraf jalan balak di Sarawak yang sering rosak dan tidak selamat serta peratusan kemajuan kerja-kerja naik taraf di kawasan Parlimen Hulu Rajang.
-- BERNAMA
MOTAC BAKAL PROMOSIKAN DUA PROGRAM PELANCONGAN DI MERSING TAHUN INI
KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia sedang merancang dan akan melaksanakan beberapa program dalam mempromosi keunikan serta kepelbagaian aktiviti di pulau-pulau di Mersing, Johor tahun ini.
Timbalan Menterinya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata program tersebut adalah ‘Johor Dive and Underwater Photography’ yang dijangka dilaksanakan pada Jun 2025 serta ‘Mersing Island Hoping and Beach Clean Up’ pada Ogos 2025.
“Menerusi kedua-dua program ini, ia bakal membuka ruang dan lembaran baharu kepada Mersing supaya dapat diperkenalkan bukan sahaja kepada pelancong dalam negara tetapi kepada pelancong luar negara,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Lim Pay Hen berkaitan rancangan MOTAC bagi meningkatkan kadar pelancongan di Mersing, Johor.
Sementara itu, beliau turut berkongsi antara tarikan pelancongan baharu yang berpotensi menarik pengunjung dan pelawat asing ke Malaysia iaitu ‘Antarctic Snow World’, Pulau Pinang; ‘Borneo Paragliding’, Ranau, Sabah; ‘Eagle’s Nest Skywalk’, Langkawi; ‘Encore Melaka’, serta ‘Glow Planet Penang’.
-- BERNAMA
CADANGAN TINGKAT KADAR BANTUAN PEKEBUN KECIL DIPOHON DALAM RMK13
KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memaklumkan cadangan meningkatkan kadar bantuan kepada pekebun kecil yang mengusahakan tanaman integrasi dengan tanaman kelapa sawit akan dipohon dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata bagaimanapun, keputusan bagi permohonan kadar bantuan yang lebih tinggi itu tertakluk kepada kemampuan kewangan negara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris sama ada kementerian berhasrat meningkatkan kadar bantuan kepada pekebun kecil yang mengusahakan tanaman integrasi seiring tanaman kelapa sawit di kebun mereka, di Dewan Negara hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial