AM

RM40 Juta Disalur Selenggara 302 Telaga Tiub Sekolah Luar Bandar Sabah, Sarawak Tahun Ini

05/03/2025 12:57 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Kerajaan menyalurkan RM40 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melaksanakan projek penyelenggaraan 302 sistem telaga tiub di sekolah-sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata kementeriannya yang bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah melaksanakan pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Sejak 2021 sehingga sekarang, jumlah nilai kontrak peruntukan yang diluluskan adalah RM94.5 juta. Di bawah projek ini, 90 sekolah dikenal pasti dan disenaraikan bagi projek ini, iaitu di Sabah melibatkan 79 sekolah manakala Sarawak 11 sekolah.

“Pembinaan sedang giat dilaksanakan dengan purata kemajuan fizikal projek bagi 64 sekolah mencapai 59.85 peratus. Tempoh projek kerja ditetapkan selama dua tahun dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Larry Sng (PBM-Julau) tentang usaha kementerian untuk memastikan bekalan air bersih sampai ke sekolah luar bandar, terutama yang belum mempunyai akses air bersih, dengan menjelaskan langkah-langkah konkrit yang diambil dan jangka masa pelaksanaannya.

Wong berkata untuk tahun ini juga, 16 sekolah diluluskan penukaran skop projek kepada penggunaan teknologi Penjana Air Atmosfera (AWG).

Beliau berkata buat masa ini, pihak JKR sedang dalam proses memuktamadkan perjanjian tambahan untuk melaksanakan skop baharu dalam projek ini, manakala 10 sekolah di Sabah dalam proses kelulusan penukaran skop AWG.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan RM30.6 juta dibelanjakan pada tahun lepas untuk menyelenggara 302 sistem telaga tiub sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan