KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang dijangka beroperasi sepenuhnya Mei depan, bukan sahaja menjadi hab pengangkutan utama ke Pantai Timur malah binaannya yang eksklusif berkonsepkan pusat beli-belah, bakal menjadi tarikan yang menggamit kedatangan pengunjung.
Dengan ruangan yang luas, infratruktur lengkap dan tersusun termasuk 1,200 tempat letak kereta, TBG tentunya menjanjikan pengalaman menarik serta eksklusif.
Pengasas Syarikat & Ketua Pegawai Eksekutif Terminal Bersepadu Gombak Sdn Bhd (TEGAS) Datuk Seri Mohd Nadzlim Mohd Noor berkata terminal tujuh tingkat dengan tiga tingkat dikhaskan untuk perkhidmatan bas, manakala empat tingkat lagi dibuka sebagai pusat beli-belah, akan memberi keselesaan kepada pengguna khususnya mereka yang mendapatkan perkhidmatan yang disediakan.
“Selalunya orang datang terminal bas untuk naik bas balik kampung, tapi di TBG semuanya ada… ada kios yang menjual pelbagai jenis barangan dan makanan berkonsepkan F&B, restoran, kedai serbaneka, aksesori, fesyen, perkhidmatan dan hiburan termasuk aktiviti sukan serta kedai kecantikan dan kesihatan.
“Malah di sini terdapat dewan serbaguna yang boleh disewa untuk diadakan apa-apa majlis termasuk perkahwinan yang mampu menampung sehingga 2,000 orang dalam satu-satu masa,” katanya kepada Bernama semalam.
TBG yang terletak di kawasan strategik di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) serta berdekatan dengan Plaza Tol Gombak dan Stesen LRT Gombak, merupakan hab pengangkutan utama untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke melakukan tinjauan kesiapsiagaan operasi TBG dan ketersambungan infrastruktur terminal itu dengan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak dan Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL) Gombak.
Loke berkata TBG dijangka beroperasi pada 15 Mac ini dengan perkhidmatan menurunkan penumpang dari Pantai Timur, sebelum memulakan perkhidmatan mengambil penumpang untuk ke laluan sama seminggu kemudian.
Selain bas ekspress, TBG juga menghubungkan bas antara bandar dan diintegrasikan dengan stesen LRT Gombak serta stesen ECRL Gombak, yang pembinaannya sudah mencapai 79 peratus.
Mengulas lanjut mengenai terminal itu, Mohd Nadzlim berkata pengoperasian penuh TBG kelak akan dapat mengatasi kesesakan di Terminal Bersepadu Selatan, yang kini turut menawarkan perkhidmatan bas ke Pantai Timur.
“Paling utama ialah lokasi platform bas yang strategik yang memudahkan orang ramai mengakses ke situ. Ada papan tanda di setiap tempat serta kaunter informasi yang disediakan tingkat 1 atau lobi utama,” katanya dan menambah akses ke LRT dan ECRL yang bakal siap juga tersusun dan strategik.
Mohd Nadzlim berkata bermula daripada pembelian tiket sama ada secara fizikal atau mesin layan diri sehingga maklumat platform untuk menaiki bas, semuanya disediakan secara tersusun bagi memudahkan orang ramai.
Ini termasuk juga kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) yang disediakan di TBG seperti tandas, surau serta kemudahan pergerakan golongan ini untuk turun dan naik bas.
“Kita ada platform khas untuk golongan OKU ini. Apabila mereka membeli tiket, ada satu ciri yang mereka boleh pilih. Kalau mereka OKU, kena nyatakan bahawa penumpang adalah OKU jadi sistem boleh kesan, maka bas itu akan ditempatkan di platform yang mesra OKU,” katanya.
Beliau berkata TBG menyediakan 3,000 peluang pekerjaan yang bakal menjadi tulang belakang kepada pengoperasian terminal itu nanti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial