AM

JAKIM Sedang Kaji Prosedur Pengiktirafan FHCB, Pastikan Kekal Relevan

05/03/2025 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mengkaji prosedur pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) bagi memastikan prosedur sedia ada kekal relevan dan selaras dengan keperluan halal global yang sentiasa berkembang. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata perkara itu perlu kerana 85 FHCB diiktiraf Malaysia, terdiri daripada 47 negara yang aktif memberi pensijilan halal kepada produk yang diimport ke Malaysia. 

“JAKIM juga menjalankan audit dan pemeriksaan berkala terhadap FHCB yang diiktiraf bagi memastikan Standard Halal Malaysia terus dipatuhi. Audit ini meliputi audit dokumentasi, lawatan ke premis pengeluar serta pemantauan berterusan terhadap pensijilan produk halal luar negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang ingin tahu mengenai langkah kerajaan memastikan logo halal dari luar negara memenuhi piawaian seumpama JAKIM dan rancangan memperketatkan prosedur pengiktirafan halal antarabangsa. 

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata JAKIM juga dalam proses akhir membangunkan sistem permohonan pengiktirafan bagi FHCB secara dalam talian MY IHAB, sistem yang lebih sistematik dan dapat membantu jabatan itu meningkatkan kecekapan serta integriti dalam menguruskan proses permohonan FHCB. 

Menjawab soalan tambahan Mumtaz, beliau berkata kerajaan sentiasa peka dengan perkembangan teknologi dan sedang meneliti potensi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan rantaian blok bagi memperkukuhkan pemantauan dan pematuhan FHCB secara masa nyata. 

“Langkah ini selari dengan usaha memastikan semua produk import memenuhi standard halal JAKIM sebelum memasuki pasaran Malaysia. AI membolehkan data pematuhan dianalisis secara automatik, mengenal pasti ketidakkonsistenan dalam pensijilan serta mengeluarkan amaran awal terhadap sebarang ketidakpatuhan.

“Sementara itu, teknologi rantaian blok memastikan setiap peringkat rantaian bekalan halal direkod dan disahkan dengan telus serta tidak boleh diubah, menjadikan pemantauan lebih cekap dan berintegriti,” katanya.

Mohd Na’im berkata JAKIM juga berpotensi bekerjasama dengan FHCB bagi mengintegrasikan sistem AI dan rantaian blok, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara peneraju pemantauan halal global berasaskan teknologi. 

“Usaha untuk menggunakan AI dalam konteks penentuan hukum dan sebagainya, yang ini JAKIM sudah tentu akan mengambil kira dan memastikan teknologi ini dapat digunakan sebaiknya.

“Selain daripada itu, JAKIM juga akan memastikan setiap data dan keputusan yang diambil berdasarkan penggunaan AI ini adalah selari dengan kehendak hukum syarak,” katanya.

Mumtaz ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menggunakan teknologi AI dan rantaian blok bagi memantau pematuhan badan halal luar negara secara masa nyata, sekali gus memastikan produk luar mengikut standard jabatan itu. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan