BUTTERWORTH, 5 Mac (Bernama) -- Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) mengagihkan RM4.25 juta kepada penerima dalam kalangan asnaf, fakir dan miskin menerusi Skim Nur Ramadan pada tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata jumlah itu merangkumi sumbangan tunai RM2.75 juta membabitkan 3,937 penerima manakala RM1.5 juta lagi dalam bentuk hamper kepada 15,000 penerima.
“Bagi sumbangan tunai, mereka menerima RM700 seorang dengan RM300 diberikan secara tunai hari ini manakala RM400 lagi akan dikreditkan ke dalam akaun masing-masing. Penerima hamper pula akan menerima RM100 dalam bentuk baucar yang boleh ditebus di mana-mana pasar raya berdaftar dengan Zakat MAINPP.
“Skim Nur Ramadan dilaksanakan dalam usaha meringankan beban golongan asnaf, fakir dan miskin seterusnya memberikan kegembiraan kepada mereka sempena menyambut kedatangan Ramadan setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Agihan Skim Nur Ramadan 1446H/2025M di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penerima Saadiah Alias, 48, menyatakan rasa syukur di atas bantuan diterima kerana sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga terutama suami, Amran Abdullah, 50, yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaganya selepas diserang strok pada 2023.
Saadiah yang lumpuh separuh badan di sebelah kanan berkata berikutan keadaan itu, dia sekeluarga hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan zakat berjumlah RM450 sebulan.
“Suami bukan sahaja perlu menjaga saya tetapi juga ibu saya berusia 81 tahun yang kini terlantar akibat penyakit saraf.
“Justeru, saya amat bersyukur dengan bantuan ini kerana dapat menampung perbelanjaan persiapan menyambut Syawal nanti,” katanya yang tidak mempunyai anak.
Roslan Md Ruzi, 57, dari Machang Bubok pula berkata ini merupakan kali pertama dia menerima sumbangan Skim Nur Ramadan dan berterima kasih kepada Zakat MAINPP kerana prihatin dengan nasib golongan asnaf sepertinya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial