PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) -- Proses bedah siasat selama hampir tiga jam ke atas mayat Pegawai Tribunal Kastam mendapati tekanan pada leher akibat jerutan menggunakan ligatur menjadi punca kematian, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa.
Rusdi ketika dihubungi media hari ini berkata berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Putrajaya di sini, kes masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“Bedah siasat telah dijalankan oleh pakar patologi dari Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor. Punca kematian adalah disebabkan tekanan pada leher akibat jerutan menggunakan ligatur.
“Berdasarkan laporan bedah siasat dan keterangan pakar patologi, siasatan masih di bawah SDR,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di jabatan berkenaan mendapati waris keluarga mangsa hadir untuk menuntut mayat, namun mengelak daripada didekati dan enggan ditemu bual petugas media.
Media semalam melaporkan seorang pegawai kastam berusia 45 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di lantai pejabat dengan keadaan leher dan kaki terikat menggunakan pengikat kabel.
Rusdi turut dilaporkan berkata pegawai kastam itu ditemukan maut di Pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan di sini, dan hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dijumpai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial