KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Malaysia dan Thailand akan terus berusaha mencapai kejayaan bersama-sama dan juga rantau ASEAN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata dalam satu perbualan telefon bersama rakan sejawat dari Thailand Paetongtarn Shinawatra hari ini, mereka telah membincangkan beberapa perkara penting berkait kedua-dua negara.
“Hal itu termasuk isu di sempadan seperti di Sungai Golok membabitkan komitmen kerajaan Thailand dengan dana untuk projek pembangunan pascabanjir. Turut dibincangkan adalah komitmen kerjasama lebih teguh berkaitan kawalan saliran air dalam mengurangkan risiko banjir dan inisiatif tebatan banjir baharu bagi pengurusan dan perlindungan pantai.
“Kami juga membincangkan komitmen terkait proses dialog damai di Selatan Thailand termasuk pelantikan ketua perunding baharu,” kata beliau menerusi hantaran itu.
Sementara itu, dalam satu hantaran berasingan Anwar berkata kerjasama padu antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu terus dipertingkat dan diperhebatkan lagi demi kebajikan rakyat.
Perdana Menteri berkata perkara itu ditegaskan beliau ketika mengadakan pertemuan berasingan dengan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini.
“Saya titipkan pesanan, pastinya segala perancangan jangka pendek dan panjang, perlu mengambil kira kepentingan rakyat yang dahagakan pembangunan tanpa melupakan prinsip manusiawi dan menuntut pentadbiran yang menjaga rakyatnya, yang menguatkuasakan undang-undang secara adil, serta yang beroperasi dengan telus,” kata beliau.
Dalam hantaran itu beliau turut memaklumkan telah menerima warkah persilaan daripada Mohd Shukri sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail yang dijadual berlangsung pada 17 April depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial