EKONOMI

BMI Jangka BNM Kekalkan OPR Sepanjang 2025

07/03/2025 12:22 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- BMI Country Risk & Industry Research (BMI), unit Fitch Solutions Group Ltd, menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus sepanjang 2025.

Menerusi nota penyelidikan pada Jumaat, BMI menjelaskan BNM memutuskan OPR dikekalkan pada 3.00 peratus semasa mesyuarat ke-11 berturut-turut, yang juga mesyuarat dasar kedua bagi tahun ini, sekali gus menepati jangkaan konsensus.

Menurut BMI pernyataan dasar monetari terkini BNM sebahagian besarnya tidak berubah daripada yang sebelumnya, terutama dalam panduan masa depan.

BMI memaklumkan seperti dijangkakan, inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.7 peratus tahun ke tahun bagi Januari manakala inflasi teras meningkat kepada 1.8 peratus tahun ke tahun daripada 1.7 peratus pada Disember 2024.

“Bukan sahaja bacaan terkini itu kekal selesa di bawah purata 10 tahun Malaysia sebanyak 2.0 peratus, malah juga mengukuhkan pandangan bahawa inflasi kekal cukup baik untuk bank pusat mengekalkan kadar itu,” tambah BMI.

Tidak seperti kenyataan sebelum ini, BNM mengakui pelarasan gaji 15 peratus secara berperingkat untuk kalangan penjawat awam -- lapan peratus daripadanya berkuat kuasa pada Disember 2024 (fasa satu) -- akan memberi sedikit kesan ke atas inflasi.

BMI menjelaskan perkara itu menyokong unjuran pihaknya iaitu inflasi mungkin meningkat kepada 2.4 peratus pada 2025 daripada 1.8 peratus pada 2024, susulan rancangan pemansuhan subsidi petrol RON95 pada separuh kedua tahun ini, walaupun butirannya masih tidak cukup.

Dari segi ekonomi, BNM yakin momentum yang dicatatkan pada 2024 akan berterusan tahun ini.

“Bagaimanapun risiko ‘yang berpunca daripada kelembapan ekonomi rakan dagang utama susulan ketidakpastian yang ketara berkaitan dengan dasar perdagangan’ yang dimaklumkan BNM, adalah kebimbangan yang tidak terdapat dalam kenyataanya sebelum ini.

“Kami berpandangan ini disebabkan potensi pengenaan tarif perdagangan di bawah presiden Amerika Syarikat bagi kali kedua, Donald Trump," jelas BMI.

Bagaimanapun setakat ini, sehingga tahap sebarang perubahan dasar perlindungan itu menjadi jelas, BMI terus menjangkakan pertumbuhan kukuh 4.7 peratus pada 2025, penurunan daripada 5.1 peratus pada 2024 namun secara amnya sejajar dengan purata Malaysia terkini iaitu 4.8 peratus antara tempoh 2015 hingga 2019.

“Ini menunjukkan bank pusat tidak tergesa-gesa untuk mengurangkan kadar dasar bagi menyokong pertumbuhan sebaliknya boleh mengekalkan ruang dasar manakala campur tangan hanya sebagai tindak balas terhadap kejutan ekonomi yang negatif," tambah BMI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan