EKONOMI

LSH Capital Gantung Dagangan Sehingga Pindahan Penyenaraian Ke Pasaran ACE Selesai

07/03/2025 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital) mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk menggantung lebih awal dagangan sahamnya di Pasaran LEAP berkuat kuasa 2.30 petang hari ini sehingga pindahan penyenaraian ke Pasaran ACE selesai. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata permintaan tersebut dibuat bagi menghalang berlakunya sebarang dagangan tidak disengajakan dalam saham LSH Capital, yang boleh melibatkan pelanggaran aku janji yang disediakan sebelum ini oleh pemegang saham syarikat sedia ada.

Permintaan itu juga dibuat untuk memastikan pemegang saham terus memegang dan tidak melupuskan, memindahkan atau mengurangkan keseluruhan pegangan saham mereka dalam syarikat itu dari tarikh aku janji bertulis sedemikian sehingga selesai atau penamatan (mengikut mana-mana yang berkenaan) penarikan balik penyenaraian LEAP.

“Ini bertujuan untuk memastikan pemindahan penyenaraian yang lancar dan berjaya, yang dijadualkan selesai pada 21 Mac, 2025,” katanya.

LSH Capital menyasar mengumpul RM168.08 juta melalui pemindahan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE.

Syarikat itu akan menawarkan 191 juta saham baharu kepada orang ramai, berharga pada 88 sen sesaham.

Pada rehat tengah hari, harga saham LSH Capital tidak berubah pada 84.5 sen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan