EKONOMI

Malaysia Perkukuhkan Kehadiran Dalam Teknologi Global Di MWC Barcelona 2025

07/03/2025 08:29 PM

 

Daripada Zairina Zainudin

 

BARCELONA (Sepanyol), 7 Mac (Bernama) - Malaysia mengukuhkan kehadirannya di pentas teknologi global di Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) Barcelona 2025 menerusi pameran inovasi dan kemajuan digital yang mengagumkan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching mewakili Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengetuai delegasi Malaysia bagi lawatan kerja dua hari ke acara berprestij itu.

Beliau menzahirkan rasa bangga dengan kemajuan teknologi dan pengaruh Malaysia yang semakin menyerlah dalam industri.

Beliau berkata pembentangan Malaysia adalah luar biasa pada kongres tahunan itu khususnya melalui Pavilion Malaysia dan Pavilion Sarawak, kedua-duanya menekankan potensi negara dalam ekonomi digital.

Menurutnya, Malaysia muncul sebagai satu-satunya negara amggota ASEAN dengan pavilion khas di MWC Barcelona 2025, ia memantapkan lagi kepimpinannya dalam transformasi digital rantau ini.

Selain itu, Pavilion Malaysia juga mengetengahkan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, mengukuhkan komitmennya untuk memupuk kerjasama serantau dalam ekonomi digital, katanya.

“Saya berasa sangat bangga dengan Pavilion Malaysia, dan sudah tentu, tahniah juga kepada Pavilion Sarawak. Mereka benar-benar mempamerkan apa yang telah kita capai di Malaysia dan potensi besar Sarawak,” kata Teo ketika ditemui Bernama.

Pavilion lain yang terkenal di MWC Barcelona 2025 ialah Itali, United Kingdom (UK), Korea Selatan, Sepanyol dan Belgium.

 

Penggunaan global

 

Semasa lawatannya, Teo mengadakan libat urus dengan wakil dari syarikat teknologi global terkemuka seperti Intel, Huawei, ZTE dan Ericsson, beliau berkata Ericsson telah memilih Malaysia sebagai tapak demonstrasi untuk inovasi terbarunya, ia adalah bukti peranan negara yang semakin berkembang sebagai hab teknologi.

“Ericsson mempamerkan apa yang telah mereka bangunkan di Malaysia...saya sangat berbangga kerana Malaysia dijadikan kes demonstrasi mereka. Ini bukan sahaja menyerlahkan keupayaan mereka tetapi juga peranan Malaysia sebagai pemboleh dalam teknologi termaju,” katanya.

Teo juga mengiktiraf Anugerah Inovasi GSMA Foundry ZTE untuk ‘Minimalist Private 5G for Entertainment’ - penyelesaian digunakan pada penyiaran acara sukan, Sukma Malaysia 2024 di Anugerah Global Mobile (GLOMO) semasa MWC Barcelona 2025.

 

5G penting untuk pertumbuhan masa depan

 

Teo seterusnya menekankan kepentingan menerima teknologi baru muncul, terutamanya dalam bidang 5G, mengiktiraf liputan 5G 82 peratus Malaysia yang mengagumkan di kawasan berpenduduk tetapi menyatakan bahawa penggunaan teknologi bagi perusahaan kekal terhad.

“Liputan 5G kami agak mempersonakan. Bagaimanapun, kebanyakan penggunaan pada masa ini adalah berasaskan pengguna. Saya berpendapat sudah tiba masanya untuk kita meneroka bagaimana 5G boleh mengubah industri negara dan membawa kecekapan lebih baik menerusi aplikasi perusahaan,” katanya.

Mengimbas kembali perbincangannya dengan pemimpin industri teknologi, Teo menekankan keperluan Malaysia mempercepatkan transformasi digitalnya untuk kekal berdaya saing di persada antarabangsa.

“Dengan mengunjungi semua gerai pameran ini, kami telah melihat bagaimana 5G boleh dimanfaatkan oleh perusahaan untuk memacu inovasi. Malaysia mesti mengejar dan memastikan kita dapat menunjukkan kepada dunia bagaimana 5G mengubah industri negara,” katanya.

 

MWC Barcelona 2025 platform kritikal untuk Malaysia

 

Teo berkata MWC Barcelona 2025 terus menjadi platform penting bagi Malaysia untuk melibatkan diri dengan peneraju teknologi global, menarik pelaburan dan memupuk kerjasama yang akan memacu ekonomi digital negara ke depan.

Menerusi perwakilan yang kukuh dan visi yang jelas, Malaysia sudah bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam landskap teknologi global, katanya lagi.

MWC Barcelona 2025 adalah acara industri mudah alih terbesar di dunia, menghimpunkan penggiat utama dalam telekomunikasi untuk mempamerkan inovasi, membincangkan arah aliran industri dan memupuk perkongsian global.

Edisi ke-19 di Barcelona tahun ini menyaksikan Pavilion Malaysia mempamerkan kemajuan teknologi negara dan peranannya dalam memacu kemajuan melalui penggunaan 5G, infrastruktur digital dan inovasi kolaboratif di rantau ASEAN.

Malaysia kini menerajui ASEAN dalam transformasi digital, pavilion itu menyediakan platform penting untuk dunia menyaksikan keupayaan negara dalam telekomunikasi.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan