SUKAN

'Siuuu' Faisal Halim Kembali Bergema, Ledak Hatrik Bantu Selangor Benam KDN

09/03/2025 12:55 AM

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Selepas menempuh musim yang ‘panjang’, pemain sayap  Mohamad Faisal Abdul Halim akhirnya kembali menemui sentuhan jaringan apabila cemerlang meledak hatrik membantu Selangor FC membelasah pasukan tercorot Kelantan Darul Naim (KDN) FC 7-0 pada saingan Liga Super 2024/2025 malam ini.

Aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menyaksikan Faisal Halim menamatkan kemarau jaringan selepas 447 hari (kali terakhir menjaringkan gol ketika menentang PDRM FC musim lalu) apabila beliau dengan tenang menyambut hantaran dari sebelah kiri ketua pasukan Muhammad Safuwan Baharudin untuk memulakan pesta gol Gergasi Merah pada minit ke-13.

Pemain pertahanan Quentin Cheng menggandakan jaringan Selangor menerusi voli dari sudut sukar di sebelah kanan padang pada minit ke-31 sebelum mencipta peluang buat Faisal Halim, yang menjadi mangsa simbahan asid Mei lepas, mencetak gol kedua peribadi pada minit kedua masa kecederaan babak pertama.

Percaturan Katsuhito Kinoshi membawa masuk pemain tengah Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi menggantikan tonggak import Yohandry Orozco pada babak kedua benar-benar mencetuskan impak dengan menjadi arkitek buat tiga lagi gol pasukannya.

Umpanan Mukhairi Ajmal membuka ruang buat pemain pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar menjaringkan dua gol dalam masa singkat, masing-masing pada minit ke-54 dan ke-56, disusuli hantaran dari sebelah kanan yang dimanfaatkan Faisal Halim untuk melengkapkan hatrik pada minit ke-66.

Penyerang gantian Muhammad Aliff Izwan Yuslan tidak mensia-siakan kemunculannya di atas padang apabila bijak menghidu hantaran pemain tengah dari Croatia Nikola Jambor untuk menoktahkan kemenangan besar Selangor sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua dengan 46 mata manakala KDN kekal terperosok di tangga terbawah menerusi tujuh mata.

Dalam pada itu, dua jaringan penyerang import Kpah Sherman masing-masing pada minit ke-72 dan ke-78 membantu Sri Pahang FC mengutip tiga mata berharga apabila menundukkan tuan rumah PDRM FC 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Terdahulu, tandukan pemain pertahanan dari Argentina Stefano Brundo membuka tirai jaringan buat skuad Tok Gajah pada minit ke-38 manakala jaringan sagu hati skuad ‘The Cops’ disumbangkan Bruno Suzuki tujuh minit selepas separuh masa kedua bersambung.

Kemenangan keempat Sri Pahang musim ini menyaksikan mereka kini di tangga ke-10 liga dengan 20 mata sementara PDRM berada di kedudukan kelapan dengan 21 mata.

Satu lagi aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung membabitkan tuan rumah Perak FC dan Negeri Sembilan FC pula berkesudahan seri tanpa jaringan.

Keputusan tersebut membantu kedua-dua pasukan mengekalkan kedudukan dengan Perak FC mengutip 24 mata di tangga ketujuh dan Negeri Sembilan di tempat ke-12 dengan 13 mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan