GEORGE TOWN, 9 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memantau rapi keadaan empat pelajar yang terlibat dalam kemalangan di Jordan, kata Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Zambry berkata beliau juga telah mendapat laporan awal mengenai empat pelajar itu dengan tiga daripadanya dalam keadaan stabil manakala seorang lagi memerlukan perhatian rapi kerana mengalami kecederaan parah.
"Pihak Education Malaysia Jordan (EMJ) telah maklumkan (keadaan mereka) malah pihak EMJ kita sedang melihat sendiri dan memantau keadaan mereka yang terlibat dalam kemalangan itu.
"Mereka akan memaklumkan kepada kita (KPT) dari masa ke semasa dan saya akan maklumkan nanti dari masa ke semasa tentang keadaan mereka," katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Zambry yang ditemui selepas menghadiri Kembara Ramadan KPT 2025 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini, turut mendoakan kesemua mereka selamat dan kembali sihat.
Terdahulu, media melaporkan empat pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Mu’tah, Jordan, mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di negara itu, Jumaat lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khaled memaklumkan dua daripada pelajar terbabit berasal dari Johor dan merupakan pelajar tahun pertama dalam bidang Fiqh Wa Usul di universiti itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial