JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Lelaki Cetus Kekecohan Di Rumah Ibadat

09/03/2025 09:32 PM

KUCHING, 9 Mac (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai mempunyai masalah mental kerana mengamuk di Gereja St Joseph, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pihaknya menerima aduan oleh orang awam mengenai kejadian di rumah ibadat itu pada 6.50 petang semalam.

“Lelaki yang berusia 25 tahun itu telah masuk dari pintu utama gereja menggunakan kereta sambil memainkan muzik dengan kuat serta memegang sebotol minuman keras. 

“Lelaki tersebut juga secara tiba-tiba bertindak memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat lalu membaling botol dan keluar dari gereja dalam keadaan marah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut Mohd Farhan, ahli keluarga suspek telah tampil memberi kenyataan dan menunjukkan dokumen menyatakan lelaki terbabit sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kota Sentosa.

“Ahli keluarga turut memaklumkan suspek dikhuatiri tidak mengambil ubat yang telah dibekalkan oleh pihak hospital kepadanya,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Semalam, insiden berkenaan tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan orang awam.

Mohd Farhan turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-24 4444 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Ang Mei Cin di talian 010-703 9818.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan