SUKAN

Bertrand Yakin Pelantikan Ken Nee Bantu Skuad Terjun Negara

10/03/2025 04:43 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Pengalaman pengarah teknikal baharu skuad terjun kebangsaan Yeoh Ken Nee sebagai penerjun berpengalaman dan juri di peringkat antarabangsa, akan memberi pandangan berharga serta perspektif baharu bagi meningkatkan bakat sukan terjun negara.

Penerjun negara Bertrand Rhodict Lises optimis bahawa Ken Nee tahu apa diperlukan untuk membantu mereka kembali meraih kejayaan, selain beliau sentiasa peka dengan perkembangan teknik dan peraturan terjun terkini. 

"Secara peribadi, saya merasakan pelantikan Ken Nee sebagai perkara baik. Beliau menyertai banyak pertandingan sebelum ini (sebagai juri di peringkat antarabangsa) dan setiasa peka dengan perkembangan serta apa sahaja perubahan dilakukan World Aquatics (WA). 

"Jadi jika ada perubahan, beliau antara terawal tahu dan boleh memaklumkan kami. Selain itu sebagai bekas penerjun, beliau memiliki pencapaian cukup besar dan saya berharap semuanya akan berjalan lancar untuk kami," katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini hari ini. 

Baru-baru ini Renang Malaysia (MS) mengumumkan pelantikan Ken Nee sebagai pengarah teknikal baharu skuad terjun kebangsaan bagi menggantikan Bryan Nickson Lomas yang meletak jawatan pada Disember lepas. 

Ken Nee mencatatkan sejarah sebagai penerjun lelaki Malaysia pertama berjaya ke peringkat akhir Sukan Olimpik dan menduduki tempat ke-10 dalam acara individu papan anjal 3 meter (m) lelaki di Olimpik London 2012.

Beliau juga memperoleh pingat pada Sukan Asia iaitu di Busan pada 2002, Doha (2006) dan Guangzhou (2010).

Penerjun berusia 41 tahun yang bersara pada 2021 itu juga berpengalaman dalam bidang kejurulatihan termasuk pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatif pasukan terjun Wilayah Persekutuan. 

Sebagai juri antarabangsa, Ken Nee merupakan seorang daripada pegawai dari Asia dipilih untuk menghakimi acara terjun di Olimpik Paris 2024. 

Sementara itu Bertrand berkata beliau gembira dengan kejayaan yang dicapainya setakat ini, selepas membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik tahun lepas.  

Remaja berusia 19 tahun itu menamatkan kempen Paris 2024 di tempat ke-25 dalam kalangan 26 peserta pada pusingan awal acara 10m platform individu lelaki, dengan 313.70 mata keseluruhan. 

Anak jati Sarawak itu berkata beliau sedang cuba mempelajari kesukaran terjunan baharu dalam usaha menjadi penerjun lebih baik pada masa depan. 

Ditanya tentang perancangan selepas ini, Bertrand berkata beliau kini memberi tumpuan kepada ujian kebangsaan di Bukit Jalil pada bulan depan, selain mahu menjalin keserasian lebih baik dengan Jellson Jabillin bagi acara seirama. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan