Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 10 Mac (Bernama) -- ASEAN perlu memperkukuh nilai strategik serta meningkatkan kedudukannya di peringkat global dengan mengutamakan kebergantungan strategik dan daya tahan ekonomi, kata Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam (CPV), To Lam.
Berucap pada majlis ulang tahun ke-30 keahlian Vietnam dalam ASEAN di Ibu Pejabat ASEAN di sini pada Isnin, beliau menggariskan lima keutamaan utama, termasuk memperkukuh identiti serantau, mengukuhkan norma tingkah laku, serta meningkatkan kerjasama dalam menangani cabaran bersama.
Beliau menegaskan bahawa ASEAN perlu memastikan kebergantungan strategik dan keupayaan menyesuaikan diri dalam menghadapi cabaran yang semakin berkembang pesat di tengah-tengah persaingan strategik.
“ASEAN mesti bertindak secara lebih terkoordinasi dan bertanggungjawab, dengan perpaduan dalaman menjadi tunjang utama dalam menangkis tekanan luar serta mengekalkan suara yang bebas dan seimbang di sebalik persaingan kuasa besar yang semakin sengit,” katanya.
Ini memerlukan konsensus yang lebih kukuh melalui rundingan, dialog serta penjajaran kepentingan negara anggota, selain memupuk semangat komuniti yang kuat dengan setiap negara memainkan peranan proaktif dalam membentuk matlamat, kepentingan, identiti dan nilai bersama, katanya.
Dari sudut ekonomi, Lam menekankan kepentingan memperkukuh daya tahan ASEAN sebagai hab rantaian bekalan global dan pusat pengeluaran strategik dunia.
“ASEAN perlu mengadaptasi penyelesaian pembangunan inovatif serta menerajui enjin pertumbuhan baharu dalam bidang seperti inovasi, sains dan teknologi, pendigitalan serta kemajuan tenaga hijau, termasuk memperkasa tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan pembangunan hijau, inklusif dan mampan, di samping menjadikan ASEAN sebagai pusat kemajuan teknologi dengan penemuan saintifik yang dapat diterjemahkan kepada aplikasi praktikal untuk manfaat sosio-ekonomi serantau.
Selain itu, Lam juga menegaskan keperluan memperkukuh identiti dan nilai ASEAN, khususnya melalui hubungan budaya serta pertukaran rakyat dengan rakyat.
“Kita mesti mengekalkan dan memperkukuh ‘ASEAN Way’ sebagai warisan budaya yang tidak ternilai dalam proses membuat keputusan ASEAN,” katanya, sambil menambah bahawa ASEAN harus memberi keutamaan kepada rakyatnya, terutamanya dalam menangani isu mendesak seperti keterjaminan makanan, tenaga dan perubahan iklim.
Keutamaan lain adalah meningkatkan keberkesanan norma dan tingkah laku serantau bagi mengekalkan keseimbangan serta kestabilan, terutama dalam menghadapi persaingan kuasa besar, di samping menekankan kepentingan inisiatif yang diterajui ASEAN sebagai platform untuk dialog dan kerjasama yang tulen.
“ASEAN mesti mengekalkan perpaduan dalam tindakan dan pendiriannya, menegaskan peranannya sebagai pusat hubungan dan penghubung,” katanya.
Beliau turut menyeru kepada usaha kolektif dalam menangani cabaran dalaman ASEAN, khususnya dalam menyokong kestabilan Myanmar serta membantu peralihan Timor-Leste ke arah keahlian penuh ASEAN.
“Paling utama, ASEAN perlu secara proaktif memanfaatkan ‘ASEAN Way’ bagi merangka penyelesaian jangka panjang dan mampan terhadap cabaran di dalam dan luar rantau ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial