AM

Kementerian Perpaduan Negara Kenal Pasti Tapak Pembangunan Ruang Sosial, Fizikal

10/03/2025 06:23 PM

PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengenal pasti sebanyak 21 tapak lokasi berpotensi di 14 negeri untuk pembangunan ruang fizikal dan sosial bertujuan memperkukuh perpaduan masyarakat.

KPN dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi inisiatif itu, antara projek yang dicadangkan termasuk pembinaan dewan terbuka, taman permainan kanak-kanak, gazebo, sudut hijau, pusat kegiatan sukan, pusat kegiatan komuniti berpusat, perpustakaan komuniti serta pembinaan trek berjalan.

“Pembangunan ruang fizikal dan sosial yang dicadangkan berfungsi sebagai tapak untuk penglibatan inklusif yang mendorong interaksi antara penghuni pelbagai latar belakang dengan matlamat mencapai keharmonian sosial yang lestari.

“Selain memupuk kesepaduan dalam kalangan komuniti, pembinaan ruang ini juga satu inisiatif integrasi yang memperkukuh kerjasama strategik antara komuniti, akademik, agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan,” menurut KPN.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan pasca-Majlis Mesyuarat Menteri Perpaduan Negara bersama Exco-Exco Perpaduan Negeri dan Exco-Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity) yang pertama bagi 2025, dipengerusikan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang hari ini.

Mengenai inisiatif pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi tahun 2024, menurut KPN sebanyak 152 Rukun Tetangga dimodelkan sebagai penggerak komuniti progresif, jumlah berkenaan melebihi sasaran awal yang ditetapkan iaitu 116 Rukun Tetangga.

Selain itu, KPN akan membangunkan Aplikasi Digital-KRT Mart bagi memperluas lagi pasaran produk KRT melalui aplikasi yang mesra pengguna dan mudah diakses melalui telefon bimbit.

Antara perkara yang telah dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan termasuk pelaksanaan pemutihan 584 tanah premis perpaduan, pengurusan isu perpaduan di peringkat akar umbi dan pelaksanaan Sambutan Minggu Perpaduan 2025.

MExUnity menjadi wadah perbincangan antara Menteri Perpaduan Negara dan barisan Exco Kerajaan Negeri untuk merancang dan melaksanakan usaha ke arah penyatupaduan rakyat melalui program berteraskan perpaduan di peringkat kebangsaan dan negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan