Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini susulan jualan berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih diterajui oleh kaunter utiliti, telekomunikasi dan media serta sektor perkhidmatan kewangan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.81 mata atau 0.70 peratus kepada 1,536.46 daripada paras penutup 1,547.27 pada Jumaat minggu lepas.
Tenaga Nasional susut 20 sen kepada RM13.54, Maxis turun 10 sen kepada RM3.27 dan Maybank berkurangan enam sen kepada RM10.58. Gabungan kaunter-kaunter ini menyeret turun indeks komposit sebanyak 4.53 mata.
FBM KLCI dibuka rendah turun 1.69 mata kepada 1,545.58 dan bergerak antara paras 1,536.46 dan 1,550.0 sepanjang hari dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 730 berbanding 253, manakala 425 kaunter tidak berubah, 974 tidak diniagakan dan 15 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.10 bilion unit bernilai RM2.40 bilion daripada 2.45 bilion unit bernilai RM2.43 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI meneruskan aliran menurunnya di tengah-tengah sentimen berhati-hati dan kekurangan pemangkin baharu.
Beliau berkata indeks utama serantau juga mencatatkan prestasi negatif memandangkan sentimen pelabur yang terus tidak menentu berikutan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang kerap berubah yang mencetuskan ketidaktentuan global.
"Selain itu, jangkaan kemelesetan di AS tahun ini juga menambahkan lagi kegelisahan pasaran," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, beliau berkata peserta pasaran memantau rapat perkembangan di Beijing, ketika kepimpinan China mengakhiri sesi perundangan tahunannya, menggariskan sasaran pertumbuhan lima peratus bagi 2025, memberi tumpuan kepada permintaan domestik dan memperkenalkan peningkatan defisit belanjawan fiskal.
Di bursa tempatan, beliau berkata penjualan baru-baru ini menyebabkan nisbah pendapatan harga indeks petunjuk pasaran susut kepada 13.5 kali, yang menyediakan peluang untuk mengumpul saham mewah atau saham yang mempunyai asas kukuh bagi melindungi portfolio pelabur.
"Kami menjangkakan aktiviti membeli berharga rendah akan muncul dan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,530-1,550 pada minggu ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata FBM KLCI ditutup rendah susulan sentimen mengelak risiko yang berterusan berikutan laporan gaji bukan ladang (NFP) AS yang lebih lemah daripada jangkaan.
Beliau berkata selain kegelisahan berhubung tarif AS, turun naik pasaran juga semakin meningkat berikutan kebimbangan terhadap prospek ekonomi China.
“Data terkini menunjukkan Indeks Harga Pengguna (IHP) China merosot kembali ke arah deflasi, turun 0.7 peratus tahun ke tahun pada Februari berbanding kenaikan 0.5 peratus pada bulan sebelumnya, memburukkan lagi ketidaktentuan pasaran global,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Hong Leong Bank susut 28 sen kepada RM20.48, SD Guthrie turun lapan sen kepada RM4.80, Axiata jatuh enam sen kepada RM1.82, manakala IHH Healthcare menokok empat sen kepada RM7.30 dan YTL Corporation naik dua sen kepada RM1.83.
Dalam kalangan kaunter aktif, MyEG Services naik setengah sen kepada 90.5 sen, NationGate turun 19 sen kepada RM1.14, NexG susut satu sen kepada 26 sen, SNS Network Technology berkurangan dua sen kepada 38.5 sen, manakala Sapura Energy tidak berubah pada 3.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot sebanyak 107.70 mata kepada 11,413.10, Indeks FBMT 100 turun 97.72 mata kepada 11,197.83, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 151.72 mata kepada 11,028.23, Indeks FBM ACE menyusut 65.45 mata kepada 4,522.34 dan Indeks FBM 70 jatuh 216.48 mata kepada 16,125.99.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 98.23 mata kepada 18,968.45, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 1.58 mata kepada 153.65, Indeks Tenaga jatuh 7.01 mata kepada 708.03 dan Indeks Perladangan turun 61.37 mata kepada 7,418.71.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.67 bilion unit bernilai RM2.14 bilion daripada 1.37 bilion unit bernilai RM2.22 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.07 bilion unit bernilai RM143.69 juta daripada 747.40 juta unit bernilai RM100.78 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 356.70 juta unit bernilai RM121.99 juta daripada 326.62 juta unit bernilai RM116.21 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 230.55 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (312.56 juta), pembinaan (87.88 juta), teknologi (325.37 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (98.10 juta), hartanah (125.89 juta), perladangan (28.82 juta), REITs (11.36 juta), dana tertutup (9,500), tenaga (248.71 juta), penjagaan kesihatan (89.48 juta), telekomunikasi dan media (39.04 juta), pengangkutan dan logistik (26.26 juta), utiliti (46.35 juta), dan amanah perniagaan (393,400).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial