KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan trend penurunan, dibuka rendah pada Selasa dipengaruhi oleh prestasi hambar Wall Street.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata penurunan itu susulan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang semakin lemah ditambah oleh kenyataan dikeluarkan Presiden AS Donald Trump pada hujung minggu lepas.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran susut 13.67 mata kepada 1,522.79 daripada 1,536.46 ketika ditutup semalam.
Barometer utama itu dibuka 10.45 mata lebih rendah kepada 1,526.01.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 548 berbanding 53 manakala 199 kaunter tidak berubah dan 1,574 kaunter tidak diniagakan serta tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 290.13 juta unit bernilai RM167.47 juta.
Justeru, Thong berkata peluang untuk lebih banyak penurunan kadar faedah mungkin berlaku, dijangka sebanyak tiga kali tahun ini apabila hasil 10 tahun AS susut kepada 4.219 peratus.
Di peringkat tempatan, beliau sebelum ini menjangkakan kenaikan daripada sesi dagangan sebelumnya, bagaimanapun ia tidak berlaku.
Sebaliknya, indeks menghadapi tekanan berterusan daripada jualan berterusan, ditutup sekitar paras 1,535, menandakan paras terendah setakat ini, ia diburukkan lagi dengan kelemahan serantau yang meluas.
"Namun begitu, kami kekal mengunjurkan bahawa peningkatan pada kadar pantas akan berlaku dalam masa terdekat dan menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,535-1,550 hari ini," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional susut 14 sen kepda RM13.40, Public Bank turun empat sen kepada RM4.51, Sunway merosot 12 sen kepada RM4.45, CIMB berkurangan enam sen kepada RM7.46 dan Press Metal menguncup tujuh sen kepada RM4.95.
Bagi saham aktif, Sapura dan Velesto tidak berubah masing-masing pada 3.5 sen dan 15.5 sen, Nationgate turun tujuh sen kepada RM1.07 dan MYEG jatuh 2.5 sen kepada 88 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 130.77 mata kepada 11,282.33, Indeks FBMT 100 susut 120.75 mata kepada 11,077.08, Indeks FBM Emas Shariah merosot 150.23 mata kepada 10,878.0, FBM 70 turun 258.41 mata kepada 15,867.58 dan FBM Ace berkurangan 70.06 mata kepada 4,452.28.
Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.61 mata kepada 151.04, Indeks Tenaga merosot 14.96 mata kepada 693.07, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 131.72 mata kepada 18,836.72 dan Indeks Perladangan susut 48.79 mata kepada 7,369.92.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial