EKONOMI

Kenanga IB: Perubahan Perdagangan, AI Akan Pacu Sektor Logistik Pada 2025

12/03/2025 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) mengunjurkan sektor logistik domestik akan terus mencatatkan pertumbuhan yang stabil pada 2025, dipacu oleh perkembangan industri e-dagang.

Selain itu, turut menyumbang kepada pertumbuhan berkenaan iaitu kitaran teknologi global yang dipacu oleh permintaan kecerdasan buatan (AI) selain keadaan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh.

Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini berkata sektor tersebut juga bersedia mendapat manfaat daripada potensi lencongan perdagangan berikutan ketegangan AS-China.

Katanya, manfaat itu juga boleh diperoleh menerusi lonjakan jangka pendek dalam jumlah kontena di pelabuhan domestik disebabkan pendahuluan penghantaran susulan kemungkinan kenaikan tarif AS ke atas barangan China tahun ini.

Kenanga IB mengekalkan pandangan neutral terhadap sektor pelabuhan dan logistik selain tidak menetapkan sebarang pilihan utama, selepas musim keputusan kewangan suku keempat 2024 baru-baru ini serta menyaksikan prestasi bercampur dalam kalangan pemain industri.

Ia berkata Westports Holdings Bhd (prestasi pasaran; harga sasaran: RM4.40) melebihi jangkaan manakala Bintulu Port Holdings Bhd (prestasi pasaran; harga sasaran: RM6.20) memenuhi unjuran.

Namun, ia berkata, Swift Haulage Bhd (prestasi pasaran; harga sasaran: RM0.41) dan Pos Malaysia Bhd (prestasi kurang baik; harga sasaran: RM0.15) gagal memenuhi jangkaan.

Kenanga IB juga menegaskan mengenai peraturan pelepasan karbon yang lebih ketat boleh menjadi cabaran kepada perdagangan global dengan merujuk kepada langkah-langkah daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerusi Organisasi Maritim Antarabangsa dan Kesatuan Eropah (EU).

"Walaupun implikasi sebenar masih tidak pasti, jumlah kontena ke EU pasti akan terjejas terutamanya penghantaran dari China, pengeksport utama besi, keluli dan aluminium ke blok tersebut," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan