DUNIA

Utusan Khas Pengerusi ASEAN Mengenai Myanmar Kunjungi Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh

12/03/2025 02:18 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 12 Mac (Bernama) -- Utusan khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar, Tan Sri Othman Hashim, mengunjungi Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh, Mohammad Touhid Hossain, di Dhaka pada Selasa.

Othman mendapatkan "pandangan, maklumat dan ulasan" daripada Bangladesh mengenai konflik di Myanmar dan pelarian Rohingya, menurut kenyataan Kementerian Luar Bangladesh.

Bangladesh menempatkan lebih satu juta warga Myanmar di kawasan Cox's Bazar yang melarikan diri akibat pengusiran paksa.

Perang saudara yang semakin meruncing di Myanmar memburukkan lagi situasi kemanusiaan.

Hossain menggesa tindakan segera "untuk merangka pelan komprehensif bagi penghantaran pulang pelarian Rohingya" dengan penglibatan Myanmar, anggota ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara penyumbang, menurut kementerian itu.

Ia turut menyatakan bahawa Othman menyampaikan komitmen kukuh ASEAN untuk menyelesaikan krisis berkenaan.

Othman, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia, dilantik pada Januari lepas sebagai utusan khas kumpulan Asia Tenggara mengenai Myanmar yang dilanda perang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan