EKONOMI

Perdagangan Borong, Runcit Catat Pertumbuhan 4.6 Peratus Tahun Ke Tahun Kepada RM148.9 Bilion Pada Januari 2025 - DOSM

12/03/2025 02:35 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Perdagangan borong dan runcit Malaysia memulakan 2025 dengan jumlah jualan RM148.9 bilion pada Januari, merekodkan pertumbuhan 4.6 peratus tahun ke tahun, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan  Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan jualan bagi Januari didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit dan borong.

“Perdagangan runcit mencatatkan jumlah jualan RM66.1 bilion, meningkat RM5.0 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 8.2 peratus.

“Perdagangan borong pula mencatatkan jumlah jualan RM66.8 bilion, meningkat RM3.1 bilion, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.9 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya perdagangan borong terus menunjukkan daya tahan pada Januari 2025, didorong oleh permintaan yang kukuh terhadap barangan keperluan pengguna.

Subsektor perdagangan runcit pula disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 9.7 peratus kepada RM25.5 bilion dan jualan runcit di kedai pengkhususan yang berkembang 8.3 peratus kepada RM14.0 bilion, katanya.

“Bagaimanapun, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan jualan berjumlah RM16.0 bilion, menurun RM1.6 bilion atau 9.1 peratus tahun ke tahun berikutan prestasi luar biasa pada Disember 2024,” katanya.

Menurut DOSM, dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit mencatatkan peningkatan 3.8 peratus tahun ke tahun, didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit, yang meningkat 6.6 peratus, diikuti oleh perdagangan borong yang mencatatkan peningkatan 4.5 peratus.

Sebaliknya, kenderaan bermotor mencatatkan penurunan 11.1 peratus pada bulan ini, katanya.

Sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih rendah pada Januari 2025, disebabkan kemerosotan dalam segmen kenderaan bermotor sementara subsektor perdagangan runcit dan perdagangan borong terus menunjukkan prestasi positif.

“Sektor ini dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, disokong oleh penggunaan domestik yang stabil dan aktiviti pelancongan yang berterusan,” kata DOSM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan