KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) diharapkan dapat memastikan tiada anak-anak muda di wilayah itu yang tercicir dalam semua peluang disediakan kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara tersebut, antara yang beliau tekankan semasa menerima kunjungan hormat Pengerusi KETENGAH Datuk Seri Dr Ahmad Said di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri berkata dalam pertemuan itu beliau dan Ahmad Said membincangkan mengenai hala tuju lembaga tersebut dalam memastikan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan KETENGAH.
“Saya memberi penekanan kepada akses perkhidmatan, kemudahan, inisiatif dan peluang pekerjaan terutamanya di luar bandar, pada zaman pendigitalan ini di mana arus perubahan ekonomi dan sosial amat pantas dan drastik selari dengan kepesatan di peringkat antarabangsa,” katanya.
KETENGAH adalah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang bertanggungjawab menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial di Daerah Dungun, Kemaman, dan Hulu Terengganu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial