PUTRAJAYA, 13 Mac (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan MyDigital ID Sdn Bhd memperkukuh kerjasama dalam pembangunan serta memperluas penggunaan identiti digital di Malaysia khasnya melalui integrasi MyDigital ID dalam platform MyTax dan MySTR.
LHDN dalam satu kenyataan memaklumkan usaha memperkukuh kerjasama itu dicapai melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Pemerkasaan Identiti Digital hari ini antara agensi berkenaan dan MyDigital ID Sdn Bhd.
MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Sdn Bhd Mohd Mirza Mohamed Noor pada majlis yang berlangsung di Menara HASiL, Cyberjaya.
“MoU itu mencerminkan iltizam kedua-dua pihak dalam menyokong agenda pendigitalan perkhidmatan awam negara serta menjajarkan penerimagunaan kemunculan teknologi baharu seiring dengan transformasi digital Sektor Awam khususnya dalam aspek percukaian dan pengurusan bantuan kerajaan,” menurut kenyataan itu.
Menurut LHDN, kerjasama itu bukan sahaja bertujuan memperkukuh perlindungan data secara dalam talian, ia juga untuk memberi keyakinan tinggi kepada rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
LHDN memaklumkan integrasi MyDigital ID dalam MyTax dan MySTR turut memudahkan akses pengguna, mengoptimumkan kelancaran urusan dalam talian serta mengurangkan risiko ancaman siber.
“Inisiatif ini selaras dengan perkembangan hala tuju perkhidmatan kerajaan dalam era digital serta seiring dengan matlamat nasional untuk membangunkan ekosistem digital yang lestari dan berdaya saing,” katanya.
Berdasarkan rekod setakat hari ini, LHDN memaklumkan 687,361 pengguna telah menggunakan pengesahan MyDigital ID di Portal MyTax bagi tujuan carian nombor TIN (Nombor Pengenalan Cukai) manakala 14,137 lagi untuk pengesahan akses ke platform MySTR.
“Perjanjian persefahaman ini dilihat sebagai penyataan hasrat kerjasama antara kedua-dua agensi untuk bekerjasama, memudah cara perkhidmatan dan sistem percukaian ke arah transformasi digital secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu.
Menurut LHDN, pelaksanaan identiti digital ini akan mendapat respons positif serta kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan pengurusan digital dan keselamatan data seterusnya mempertingkat kecekapan operasi kerajaan secara optimum.
“Kolaborasi strategik ini diharap akan membuka lebih banyak peluang serta menjadi pemangkin dalam memperluas sinergi antara sektor awam dan swasta ke arah merealisasikan aspirasi pendigitalan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial