KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Sebanyak 20 daripada 30 subjek yang ditawarkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berada dalam kelompok tiga terbaik di Malaysia.
UKM dalam kenyataan memaklumkan kecemerlangan itu dilakar menerusi penarafan QS World University Rankings by Subject 2025.
Subjek berkenaan antaranya ialah berkaitan sukan; Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris; Bahasa Moden; Pengajian Komunikasi dan Media; Undang-undang; Kejuruteraan - (Awam dan Struktur, Elektrik dan Elektronik, Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan); Perubatan; Pendidikan Perakaunan dan Kewangan serta Farmasi dan Farmakologi.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, yang menjalankan tugas Naib Canselor UKM Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor dalam kenyataan sama berkata 15 daripada 30 subjek yang ditawarkan universiti berjaya tersenarai dalam kelompok 200 terbaik dunia.
“Lebih membanggakan, subjek Theology, Divinity and Religious Studies mencatatkan peningkatan kedudukan yang sangat membanggakan, iaitu berada dalam kalangan 100 terbaik dunia. Pencapaian ini juga mencerminkan kekuatan dan daya saing UKM dalam pelbagai disiplin ilmu,” katanya.
Selain itu, Abdul Halim berkata UKM turut menunjukkan peningkatan dalam tiga Broad Area utama iaitu Arts and Humanities, Natural Sciences dan Life Sciences and Medicine.
“Penarafan antarabangsa ini membuktikan UKM berjaya mengekalkan reputasinya dari segi kualiti kepakaran akademik, program berprestasi tinggi, serta hasil usaha berterusan warga UKM dalam memastikan pendidikan tinggi yang berkualiti, inovatif, selain relevan dengan keperluan global,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial