EKONOMI

Forest City Mahu Jadi Pemain Utama, Sedia Hab Pengangkutan SFZ, JS-SEZ

14/03/2025 04:12 PM

ISKANDAR PUTERI, 14 Mac (Bernama) -- Forest City bersedia menjadi pemain utama dalam pertumbuhan Zon Kewangan Khas (SFZ) yang juga sebahagian daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan berperanan menyediakan hab pengangkutan.

Timbalan Presiden Country Garden Pacificview Sdn Bhd Syarul Izam Sarifudin berkata bagi merealisasikan usaha itu, Forest City berhasrat menaik taraf rangkaian pengangkutan jalan sedia ada selain merancang mewujudkan rangkaian rel sebagai persediaan menjadi hab pengangkutan selatan tanah air.

“Forest City telah bekerjasama dengan Causeway Link dalam mewujudkan laluan bas menghubungkan kawasan itu dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) sejak 2023.

“Laluan ini memudahkan akses penduduk kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Singapura untuk berulang-alik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Forest City dan Causeway Link akan terus bekerjasama bagi meningkatkan perkhidmatan bas awam dalam memastikan kelancaran perkhidmatan di kawasan berkenaan.

Katanya penambahbaikan itu termasuk mengoptimumkan laluan sedia ada antara Forest City dan pusat beli-belah di sekitarnya seperti EduCity, NSK Nusajaya dan AEON Bukit Indah, penambahan kekerapan bas bagi laluan Forest City-Second Link serta pembukaan laluan baharu antara Forest City dan Kuala Lumpur, terutamanya pada hujung minggu.

“Laluan ini telah dimulakan menerusi fasa percubaan sejak 12 Februari dan beroperasi sepenuhnya pada 16 Februari lepas. Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi aplikasi Causeway Link.

“Perkhidmatan bas yang dinaik taraf di Forest City akan lebih terintegrasi dengan sistem perkhidmatan bas di Johor Bahru, sekali gus meningkatkan lagi pergerakan pelbagai pihak,” katanya.

Pada masa sama, Syarul Izam berkata Forest City juga bersedia untuk mengambil bahagian sekiranya kerajaan merancang menghidupkan semula projek pengangkutan mega iaitu Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura serta pembinaan Aliran Transit Automasi (ART) atau Transit Aliran Ringan (LRT).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kerajaan negeri komited meningkatkan kualiti jalan serta pengangkutan awam yang menghubungkan SFZ Forest City serta JS-SEZ bagi pembangunan kedua-dua inisiatif tersebut.

Beliau berkata jumlah pengembara yang merentas sempadan antarabangsa Malaysia dan Singapura di Tambak Johor serta Second Link dianggarkan seramai 300,000 hingga 400,000 orang sehari.

“Sistem pemeriksaan tunggal yang dilaksanakan kerajaan di kedua-dua CIQ iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan KSAB sudah pun memulakan operasi.

“Ia menggunakan teknologi pengecaman wajah selain Kod QR dan pasport. Langkah ini dapat mempercepat proses pemeriksaan dan pelepasan imigresen sekali gus melancarkan lagi pergerakan mereka,” katanya.

Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri turut mempunyai perancangan bagi membangunkan rangkaian pengangkutan yang dapat menghubungkan SFZ Forest City dan kawasan JS-SEZ.

Katanya Rapid Transit System Link (RTS Link) yang menghubungkan Bukit Chagar di sini dan Woodlands North di Singapura akan menjadi pemangkin perubahan pengembara dalam pergerakan antara kedua-dua negara.

Katanya RTS Link sedang dibangunkan mengikut jadual dan dijangka siap penghujung tahun 2026 sebelum mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Jan 2027.

“RTS Link mempunyai kapasiti pengangkutan maksimum sehingga 10,000 penumpang setiap jam dengan perancangan giat dibuat untuk menggunakan kaedah pemeriksaan tunggal bagi pelepasan imigresen kedua-dua negara.

“Bagi menyokong perkhidmatan RTS Link itu, kita berhasrat membangunkan sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat melibatkan Laluan Iskandar Puteri, Laluan Skudai dan Laluan Tebrau. Laluan Iskandar Puteri bakal menghubungkan SFZ Forest City dan kawasan JS-SEZ,” katanya.

Beliau berkata sistem pengangkutan itu diyakini dapat meningkatkan keupayaan Forest City sebagai sebuah hab pengangkutan sekali gus berupaya menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa.

“Kita akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan pembangunan sistem pengangkutan yang dirancang atau yang sudah dilaksanakan akan dapat membantu Johor mencapai status negeri maju menjelang 2030,” katanya.

-- BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan