Oleh Rohani Mohd Ibrahim
KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Kesatuan Eropah (EU) menyasarkan untuk meningkatkan hubungan dengan ASEAN di peringkat pemimpin dan kini menjalin kerjasama dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, menurut Pengarah Urusan Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah untuk Asia dan Pasifik, Niclas Kvarnstrom.
Dalam temu bual eksklusif bersama Bernama semasa lawatan dua harinya ke Malaysia bermula 10 Mac lalu, beliau berkata EU menaruh harapan tinggi terhadap ASEAN di bawah kepimpinan Malaysia.
"Bagi EU, hubungan dengan ASEAN adalah teras kepada strategi keseluruhan kami di rantau Asia Pasifik.
“Lawatan Perdana Menteri (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) ke Brussels, selaku Pengerusi ASEAN amat dihargai,” katanya ketika ditemui di Pejabat Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia baru-baru ini.
Kenyataan Bersama yang dipersetujui dalam Sidang Kemuncak Peringatan ke-45 EU-ASEAN turut mengiktiraf kepentingan strategik dalam mengadakan keterlibatan berkala di peringkat pemimpin antara ASEAN dan EU.
Blok itu berhasrat untuk menyokong keutamaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, yang menekankan aspek keterangkuman dan kemampanan pada tahun ini, kata Kvarnstrom.
Tiga Mesyuarat Menteri EU-ASEAN dijangka berlangsung pada 2025, termasuk Post Ministerial Conference dan Forum Serantau ASEAN bersama Menteri Luar pada Julai, serta rundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dengan Pesuruhjaya Perdagangan EU pada September.
Selain itu, EU turut mencadangkan supaya dialog peringkat tinggi mengenai alam sekitar dan iklim bersama ASEAN dinaik taraf kepada Mesyuarat Menteri, yang dijangka berlangsung pada September, kata Kvarnstrom.
Pada 2025, beliau berkata bahawa EU komited untuk melaksanakan projek baharu bagi ASEAN dalam bidang kerjasama digital, perdagangan, biodiversiti serta menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam peralihan hijau menerusi penubuhan pusat kecemerlangan baharu di Malaysia.
Kvarnstrom turut menjelaskan bahawa projek Grid Kuasa ASEAN, penetapan harga karbon dan ekonomi kitaran merupakan antara keutamaan lain dalam Perkongsian Strategik ASEAN-EU pada 2025.
Mengenai hubungan EU dengan Malaysia, beliau menegaskan komitmen blok itu untuk memperkukuh dan memperluas perkongsian dengan Malaysia serta ASEAN secara keseluruhannya.
"Malaysia adalah rakan penting bagi kami di Asia dalam pelbagai aspek termasuk perdagangan dan politik," katanya.
Di bawah tema Keterangkuman dan Kemampanan, Malaysia akan menganjurkan lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini.
Malaysia sebelum ini pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial